Rentas Daerah Ikut Zon: Penduduk Sabah Lega Namun Perlu Sentiasa Beringat

KOTA KINABALU: Kebenaran untuk merentas daerah mengikut enam zon ditetapkan di Sabah bermula Jumaat lepas memberikan kelegaan buat penduduk, namun kelonggaran itu tidak harus diambil mudah masyarakat bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.

Ketua Kampung Pinahawon di Inanam di sini, Mison Madamin berkata kebenaran rentas daerah sememangnya disambut baik rata-rata penduduk di negeri itu, namun kesan daripada kelonggaran berkenaan perlu diambil kira oleh semua pihak.

Mison, 58, berkata berikutan kebenaran kerajaan negeri itu, ramai penduduk bandar dijangka mengambil peluang pulang ke kampung halaman masing-masing, justeru beliau mengingatkan mereka supaya sentiasa berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan.

“Saya harap penduduk kampung yang tinggal di bandar tidak balik ke kampung sekiranya tidak sihat dan belum lengkap dos vaksin COVID-19 mereka.

“Kita dapat lihat banyak kejadian penularan jangkitan COVID-19 di beberapa kampung sebelum ini disebabkan oleh seseorang individu dari bandar yang balik bercuti ke kampung namun tidak menyangka telah dijangkiti COVID-19 hingga menyebabkan kluster baharu di kampung berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Kebenaran rentas daerah itu hanya diberikan kepada daerah yang mencapai lebih 60 peratus vaksinasi lengkap dewasa dan enam zon ditetapkan ialah Zon 1 melibatkan daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar manakala Zon 2 ialah daerah Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Zon 3 membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas, Zon 4 daerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod, Zon 5 daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan serta Zon 6 daerah Keningau, Tambunan dan Tenom.

Sementara daerah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan adalah dikategorikan sebagai daerah masing-masing disebabkan masih belum mencapai kadar 60 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa.

Alex Kalidin, 38, yang menetap di Taman Gayang, Tuaran berkata kelonggaran rentas daerah itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan semua pihak perlu mengelak daripada melakukan aktiviti yang melanggar SOP ditetapkan kerajaan.

“Saya akan guna kesempatan ini untuk balik ke kampung di Maukab, Ranau. Sudah lama saya tidak balik ke kampung disebabkan sekatan rentas daerah sebelum ini…sudah lama saya tidak berjumpa dengan sanak saudara di sana,” katanya yang bertugas sebagai penyelia di sebuah syarikat kontraktor.

Jacklee Jakin, 30, dari Kampung Gana-Gana, Ranau berkata keputusan kerajaan untuk membenarkan rentas daerah itu akan memudahkan mereka yang terpaksa merentas daerah untuk menjalankan tugas seperti dirinya sebagai seorang juruelektrik.

“Saya melakukan beberapa pekerjaan dalam bidang elektrik dan banyak pelanggan daripada luar daerah khususnya di kawasan Kota Kinabalu mahukan perkhidmatan.

“Jadi saya sangat bersyukur kerana kini saya boleh mengambil kerja di luar dari Ranau dan ia dapat menambah pendapatan saya untuk menampung keluarga,” katanya.

Gilmor Esteban, 42, yang menetap di Kampung Lapasan,Telipok, pula berkata kelonggaran rentas daerah berkenaan sangat dinantikan kerana beliau bersama keluarga sudah lama berhasrat ke Kundasang, Ranau.

“Mungkin dalam masa terdekat saya akan membawa keluarga menginap di inap desa di Kundasang dan membawa anak melawat beberapa kawasan menarik di situ.

“Saya berharap kes COVID-19 di Sabah akan terus menurun agar kelonggaran ini dapat berkekalan sehingga kembali seperti sebelum berlakunya pandemik,” katanya yang bertugas sebagai penolong penyelia di sebuah pusat beli-belah di sini.