Rentas Daerah Ikut Zon Bermula 1 Oktober

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membenarkan pergerakan rentas daerah mengikut sistem zon bermula 1 Oktober ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat vaksinasi setiap daerah dalam setiap zon yang mencapai 60 peratus penduduk dewasa telah lengkap divaksin.

Beliau berkata, daerah-daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin masih kekal dengan status sekarang iaitu tidak dibenarkan merentas daerah.

Bagaimanapun, apabila daerah tersebut sudah mencapai nilai ambang 60 peratus kadar vaksinasi lengkap, pergerakan dalam zon berkenaan akan mula dibenarkan.

Dalam pada itu, Masidi berkata, hari ini Sabah mencatatkan 965 kes positif Covid-19 berbanding 751 kes semalam dan tiada kluster baharu.

Katanya, sehingga kini, kes harian tertinggi yang pernah direkodkan di Sabah adalah sebanyak 3,487 kes yang dicatatkan pada 26 Ogos lalu.

Mengikut data bagi tempoh 30 hari lalu, kes positif Covid-19 di Sabah memperlihatkan trend penurunan walaupun rekod harian tidak statik dan sukar untuk menjangka atau meramal sama ada pada hari berikutnya akan berlaku peningkatan atau penurunan kes.

“Ini kerana pembolehubah terbesar yang mempengaruhi jumlah peningkatan atau penurunan kes bergantung kepada pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata, kes-kes bergejala atau kes sporadik sering dikaitkan dengan kegagalan mematuhi SOP. Mengikut situasi itu, dapat diramalkan kes di Sabah berkemungkinan akan naik semula apabila keputusan saringan terhadap kontak rapat yang bergejala diketahui. Ini susulan

Berdasarkan kes hari ini, dapat dirumuskan trend peningkatan kumulatif harian di Sabah sejajar dengan jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes iaitu 19 daerah, dengan kumulatif peningkatan kes bagi keseluruhan daerah tersebut adalah 359 kes. Bilangan daerah yang merekodkan penurunan kes adalah lapan daerah dengan kumulatif penurunan kes sebanyak 145 kes.

Hari ini, Kota Marudu mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi dengan 105 kes, Lahad Datu 96 kes, Kota Kinabalu 95 kes, Ranau 88 kes dan Keningau 72 kes.

Menurutnya, daripada 965 kes positif hari ini, sebanyak 255 kes daftar lewat antara dua hingga lima hari selepas keputusan saringan diketahui. Malah, terdapat lapan kes melibatkan OKT atau banduan yang direkodkan hari ini.

Tambahnya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 566 kes atau 58.7 peratus, saringan nergejala 331 kes manakala, empat kes daripada saringan kluster, dan 64 kes melalui saringan lain-lain.