Remaja Wanita Hilang Dicari

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas dipercayai melarikan diri dari kediamannya di Kampung Unta, di sini sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kehilangan Siti Nadiah Mohd Zulben, 16, disedari ibunya, Rojiah Harun, 34, pada pukul 10 pagi, ketika dia pulang  ke rumah selepas menghantar anak keduanya ke sekolah.

“Pengadu mendapati anak gadisnya itu tiada dalam bilik sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain.

“Usaha mencari remaja itu dilakukan oleh keluarganya, namun sehingga kini masih gagal ditemukan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Nasri berkata, remaja itu dipercayai melarikan diri kerana merajuk selepas berlaku perselisihan faham dan dimarahi ibunya.

“Satu laporan polis diterima  semalam, selepas semua usaha keluarga mencari remaja itu, gagal.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung remaja tersebut, diminta segera menghubungi balai polis berhampiran atau ahli keluarganya dengan segera,” katanya.