Remaja OKU Antara Tujuh Ditemukan Selamat Di Kebun Getah

KOTA BELUD: Sekumpulan remaja dan kanak-kanak yang dilaporkan hilang semasa bermain sekitar kampung ditemukan selamat di kebun getah di Kampung Kebayau, hari ini.

Kesemua mangsa termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berusia antara tiga hingga 15 tahun itu ditemukan oleh penduduk kampung dan pasukan bomba kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat pada jarak dua meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

“Kesemua mangsa terutama kanak-kanak berusia tiga tahun kelihatan sedikit lemah kerana berlapar semalaman.

“Biarpun tersesat namun, kesemua mangsa tidak terus berjalan sebaliknya berteduh di sebuah pondok yang terdapat di kebun getah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira pukul 10.49 malam kelmarin dan sepasukan pegawai dan anggota mengambil laporan semalam dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi.

Berdasarkan laporan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sekumpulan remaja dan kanak-kanak termasuk tiga OKU hilang semasa bermain di kawasan kampung.

Menurut seorang saksi, kali terakhir remaja dan kanak-kanak ini dilihat adalah di kedai runcit pada jam 3 petang.

Beliau berkata, operasi SAR dimulakan pada pukul 7.16 pagi tadi, iaitu 14 minit sebelum kesemua kumpulan remaja dan kanak-kanak berkenaan ditemukan.

“Semua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk menerima pemeriksaan dan rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 9.30 pagi,” katanya.

Empat daripada tujuh mangsa hilang adalah adik beradik iaitu Freddy Kerinsuk, 15; Arni, 13; Alistar, sembilan tahun dan adik mereka, Royce berusia tiga tahun.

Tiga mangsa lain ialah Mecklorn Datine,12, Elson Evan Lie Willie,11, dan Elcy Jackter, lima tahun.