Remaja Maut Terkena Renjatan Elektrik

Lokasi mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain futsal di Taman Bandar Sierra, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang juga pelajar sekolah berusia 16 tahun dikatakan sedang bermain bola di gelanggang bola keranjang dalam keadaan hujan renyai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati ketika bermain bola, mangsa dikatakan tergelincir dan terus terpegang tiang lampu di gelanggang berkenaan.

“Mangsa kemudiannya tiba-tiba dilihat tidak sedarkan diri sebelum didapati tercungap-cungap.

“Beberapa rakan mangsa dan orang awam yang berada di lokasi segera menghubungi ambulan untuk mendapat pertolongann kecemasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas untuk rawatan lanjut.

“Pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 8 malam.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, Habibi menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan bermain di kawasan berhampiran tiang lampu elektrik terutamanya di musim hujan.

“Keadaan basah akibat hujan berpotensi menyebabkan kebocoran aliran elektrik terutamanya pada tiang lampu dan boleh mendatangkan membahayakan orang ramai,” katanya.