Remaja Maut, Motosikal Terperosok Bawah Lori

Keadaan motosikal mangsa terperosok dibawah lori dalam kemalangan di Jalan Marabahai-Serusup, Tuaran.

OLEH NORA AHMAD
TUARAN: Seorang remaja lelaki maut selepas terseret dan motosikal yang ditunggangnya terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Jalan Marabahai-Serusup, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori dan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 60 tahun memandu dari arah Tuaran manakala mangsa menunggang motorsikal dari arah Tuaran menuju ke arah Gayang (Bulatan Kuda).

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu lori cuba membuat pusingan U di penghujung pembahagi jalan untuk membelok ke kanan menghala ke arah Tenghilan, manakala mangsa menunggang motosikal ke susur masuk arah Bulatan Kuda,” katanya ketika dihubungi, tadi.

Katanya lagi, akibat kejadian itu mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar serta terseret di bawah lori terbabit.

“Penunggang motosikal yang terseret di bawah lori mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran

“Manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian depan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.