Remaja Hilang Dikhuatiri Lemas Dihanyutkan Kepala Air

KENINGAU: Seorang remaja hilang dan dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air semasa cuba menyeberangi sungai bersama keluarganya di kawasan Borneon Timber, Jalan Tulid, Sook pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa Kenn Mohd Alfiandar Angkorou @ Abdula bersama tiga anggota keluarganya sedang menyeberang sungai sebelum kejadian kepala air berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Razlan Aridy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.33 petang dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 112 kilometer dari BBP.

Beliau berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, bapa mangsa memaklumkan, dia bersama empat keluarganya termasuk mangsa cuba untuk menyeberangi sungai.

Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba berlakunya kejadian kepala air hingga menyebabkan anaknya dihanyutkan arus deras.

“Bapa mangsa bersama seorang lagi anak dan anak saudaranya berjaya menyelamatkan diri.

“Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan semalam ditangguhkan pada 6.30 petang dan disambung semula hari ini,” katanya.