Remaja Ditahan Miliki Dua Laras Senjata Api ‘Ginsuk’

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji menunjukkan rampasan senjata api ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada Khamis.

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki ditahan kerana memiliki dua laras senjata api di hentian bas, jalan Kampung Kionsom Kecil, Inanam pada Isnin lalu, dengan alasan kononnya untuk memburu burung hutan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam kejadian pukul 8 malam itu, suspek ditahan dan seterusnya membawa pasukan polis ke sebuah bengkel berhampiran kampung berkenaan.

Habibi berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui dua laras senjata api jenis ginsuk yang disorok di dalam bengkel tersebut.

“Hasil siasatan awal, suspek  berusia 19 tahun itu mengaku memiliki senjata berkenaan selepas diwarisi daripada arwah datuknya.

“Suspek turut mengaku menggunakan senjata itu untuk menembak burung di dalam hutan di kampung berkenaan dan kali terakhir menggunakannya pada bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tambah Habibi, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimana senjata itu diperoleh oleh suspek dan apa tujuan memiliki senjata berkenaan.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 7 Ogos depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Dalam pada itu, Habibi menasihati orang awam yang memiliki senjata api buatan sendiri supaya menyerahkan kepada polis.

“Memiliki senjata api buatan sendiri bukan sahaja salah disisi undang-undang tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan kematian sekiranya disalahguna,”katanya.