Remaja Ditahan Gugurkan Kandungan

Oleh NORA AHMAD
LABUAN: Seorang remaja perempuan ditahan selepas didapati bertindak menggugurkan kandungan yang berusia tujuh bulan di Hospital Labuan, semalam.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi, suspek berusia 18 tahun itu datang ke hospital dan melahirkan bayi lelaki namun didapati telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, satu laporan polis diterima pada jam 3.36 petang dari pegawai perubatan bahawa seorang pesakit wanita dirawat di hospital itu.

“Suspek melahirkan bayi dan seterusnya didapati bayi lelaki cukup sifat dengan berat 1.04 kilogram yang dianggarkan berusia tujuh bulan telah meninggal dunia.

“Suspek dipercayai ada mengambil sejenis ubat dipercayai untuk tujuan menggugurkan kandungan pada Mei lalu dan juga kali terakhir kelmarin (Selasa),” katanya.

Muhamad Farid berkata, suspek yang juga tidak bekerja kini masih ditahan di wad untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.