Remaja 20an Ditemui Gantung Diri Berhampiran Balai Polis Karamunsing

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 20an ditemui menggantung diri di bawah paip berhampiran dengan Balai Polis Karamunsing, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada anggotanya kira-kira 9 pagi.

Beliau berkata, lelaki yang kelihatan seperti gelandangan itu ditemukan dalam keadaan tergantung menggunakan satu tali yang diikat di paip berhampiran dengan Balai Polis Karamunsing.

“Butiran lanjut dan punca beliau menggantung diri akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan kes menggantung diri disebabkan masalah peribadi dan tekanan diri sendiri.

Bagaimanapun untuk kes ini, punca sebenar akan diberitahu selepas siasatan dijalankan. Buat sementara ini, kes akan disiasat sebagai kematian mengejut.