Remaja 15 Tahun Maut, Motosikal Bertembung Lori Di Tambunan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAMBUNAN: Seorang remaja berumur 15 tahun maut apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori lapan tan, di depan Kompleks Sukan Tambunan, di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, mangsa yang merupakan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan daripada Hospital Tambunan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.46 pagi.

Sebuah jentera FRT dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi dengan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Razak Mohd Tahir bersama tujuh anggota.

Sebaik tiba dilokasi kejadian, didapati terdapat seorang mangsa yang menaiki motosikal bertembung dengan sebuah lori lapan tan jenis Isuzu.

Pemeriksaan keselamatan bomba di lokasi kejadian tidak mendapati sebarang kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada 10.30 pagi.