Remaja 15 Tahun Cuba Bunuh Diri Di Sembulan Berjaya Diselamatkan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Sembulan Lama kecoh seketika apabila seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didapati cuba membunuh diri dengan terjun dari saluran paip besi berhampiran Jambatan Sembulan.

Bagaimanapun remaja berkenaan berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2 petang itu.

Pasukan Bomba dari Balai Bomba & Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba dilokasi kejadian bagi menyelamatkan remaja itu setelah menerima laporan daripada orang awam yang terlihat kejadian tersebut.

Remaja tersebut difahamkan cuba terjun dari saluran paip besi itu kerana dipercayai berdepan dengan masalah keluarga.

Pegawai Operasi BBP Kota Kinabalu Jamaludin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 petang dan sepasukan 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera, EMRS dan dua kenderaan utiliti.

“Sepasukan anggota cuba memujuk remaja yang berdiri di saluran paip tersebut dan sepasukan lagi bersedia di bawah sungai,” katanya.

Menurutnya, proses memujuk remaja perempuan itu berlangsung kira-kira lima minit sebelum gadis tersebut bertindak terjun ke sungai dan berjaya diselamatkan oleh pasukan yang bersedia di bawah sungai tersebut.

Katanya, remaja tersebut dibawa ke daratan sebelum ditenangkan dan kemudian dirawatan. Remaja itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk pemeriksaan lanjut.