Remaja 14 Tahun Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Rakan

Mayat mangsa yang ditemukan lemas di sungai Kampung Terawih.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PUTATAN: Keseronokan empat sahabat mandi di sungai Kampung Terawih di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas.

Mayat Hadif Farhan Zuhairul, 14, ditemukan lemas oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, di dasar sungai itu pada pukul 7.14 malam tadi.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua sedang mandi-manda bersama rakan-rakannya di sungai itu sejak pukul 4.30 petang.

Ketika berseronok, mangsa dikatakan berenang ke bahagian tengah sungai, namun tenggelam.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

Rakan-rakan mangsa kemudian cuba menyelamatkannya, namun gagal lalu meminta pertolongan daripada orang awam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Penampang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.29 petang yang memaklumkan seorang pelajar hilang di sungai berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan di sungai. Mangsa telah dijumpai oleh Pasukan PPDA di lokasi dengan kedalaman dua Meter .

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala operasi tamat pada pukul 7.55 malam,” katanya.