Remaja 13 Tahun Antara Ditahan Akibat Dadah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun ditahan dalam Op Ice Breaker selama seminggu bermula 4 Januari lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kkta Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, remaja itu antara 49 individu ditahan di beberapa lokasi dipercayai terbabit atas pelbagai kesalahan dadah.

“Berdasarkan rekod, 37 daripada tahanan itu adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing yang berumur antara 13 hingga 55 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, hari ini.

Tambahnya sebanyak 30.95 gram dadah jenis syabu dan 2.21 gram ganja dianggarkan bernilai RM4,686.

“Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memeranginya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan gejala ini, boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membolehkan serbuan dilakukan,” katanya.