RELA Harus Jadi Mata & Telinga Kerajaan Mengesan PATI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah diingatkan agar sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan dalam usaha membanteras isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dengan keanggotaan RELA seramai 298,000 orang di Sabah, peranan mereka amat penting sebagai perisik untuk memahami dan mengetahui siapa yang tiada dokumen yang sah di kawasan mereka.

Beliau berkata, beliau sudah berjanji dengan rakyat Sabah bahawa kerajaan akan melaksana operasi membanteras PATI secara besar-besaran dan individu yang tiada dokumen akan diusir pulang ke negara asal.

Katanya, rakyat tempatan juga harus memainkan peranan untuk bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi di bawahnya bagi memastikan usaha membanteras PATI berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan bersama pegawai dan anggota RELA Sabah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah juga mahu RELA di negeri ini diberi latihan sewajarnya agar rakyat yakin dengan disiplin mereka sebagai pasukan unit beruniform.

Manakala, bagi menghargai peranan RELA, kerajaan telah mengambil inisiatif menaikkan elaun anggota RELA daripada RM6 kepada RM8 sejam.