RDA Akan Ditubuhkan Bangun Bandar Sempadan Sabah-Kalimantan – KM

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Wilayah (RDA) akan ditubuhkan untuk menguruskan bandar sempadan baharu di Serudong, Kalabakan yang akan menjadi satu daripada empat pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia ke negeri Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Tiga lagi pintu masuk ialah di Long Pasia, Pagalungan dan Sebatik.

Hajiji berkata RDA akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan di Serudong, dan cadangan penubuhan RDA Sabah Maju Jaya Serudong ini akan dibentangkan semasa pembentangan Bajet 2022 negeri pada bulan depan (Disember).

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan bandar sempadan dibangunkan seperti dirancang, dengan menjangkakan pembangunan besar yang akan berlaku berikutan rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur.

“Bandar sempadan ini akan turut meliputi zon industri dan komersial, perumahan dan kemudahan lain yang akan dibangunkan di sekitar pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

“Pembangunan pusat CIQS di sempadan Malaysia-Indonesia di Borneo ini akan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 September lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Hajiji dan ahli Majis Penasihat Ekonomi Sabah diberi taklimat mengenai pelan konsep sempadan Serudong-Simanggaris oleh Pengarah Perancangan Bandar Sempadan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Mursidi Sapie di Menara Kinabalu di sini.

Jumaat lepas Perdana Menteri dalam satu acara di Sandakan dilaporkan berkata beliau akan membincangkan pembangunan di sempadan Sabah-Kalimantan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) semasa lawatannya ke negara itu. 

Perdana Menteri berkata perbincangan itu juga akan meliputi usaha memajukan kawasan sempadan termasuk membangunkan infrastruktur, antara lain.