Rayuan Ditolak, Musa Gagal Gugat Kedudukan Shafie Sebagai Ketua Menteri Yang Sah

147

KOTA KINABALU: Kedudukan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri tidak tergugat dan dikekalkan berikutan rayuan Tan Sri Musa Aman untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi ditolak di Mahkamah Rayuan, di sini hari ini.

Peguam mewakili Mohd Shafie, Datuk Doughlas Lind berkata, pihak responden mengemukakan bantahan terhadap rayuan itu dengan menyatakan kes rayuan itu sebagai akademik.

“Dengan penolakan rayuan itu, kerajaan negeri sedia ada boleh meneruskan pentadbirannya.

“Kedudukan Mohd Shafie juga tidak tergugat,” katanya ketika ditemui selepas pendengaran rayuan dikemukakan Musa untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman difailkan olehnya bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ditanya tentang persediaan untuk menentang kes itu di Mahkamah Persekutuan, Douglas berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa.

“Kes kita sangat kuat sejak hari pertama. Kita tidak merasa ragu tentangnya sebab itulah kita sangat yakin untuk mengemukakan bantahan awal (preliminary objection), sebab kita sangat jelas mengenainya,” ujarnya.

Rayuan itu akan didengar di hadapan panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Kamardin Hashim bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Musa diwakili pasukan peguam diketuai Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Tengku Fuad ketika ditemui menyatakan kekecewaan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan merasakan pihaknya sepatutnya dibenarkan meneruskan rayuan berkenaan.

Beliau berkata, kes itu akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana Musa kekal dengan pendirian bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah.

“Rayuan sudah selesai, kita akan bawa kes ini ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Kamardin, selaku Ketua Hakim ketika menyampaikan keputusan membenarkan bantahan awal dilakukan dan menyatakan mahkamah menolak kes rayuan berkenaan selepas peguam Mohd Shafie melalui hujahnya mengatakan kes berkenaan bersifat akademik.

Dengan itu, mahkamah memerintahkan Musa supaya membayar kos sejumlah RM50,000 kepada Mohd Shafie selaku responden *kedua* dan membayar RM20,000 kepada Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama.

Turut hadir memberi sokongan terhadap Mohd Shafie dalam pendengaran rayuan itu adalah Menteri Belia & Sukan Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri Kewangan Saripuddin Hatta, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong Chen Bin, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Masdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik Loretto S. Padua dan Terrence Siambun serta Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau (Musa) sebagai Ketua Menteri yang sah, dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri adalah tidak sah mengikut perlembagaan.

Perebutan kuasa antara Barisan Nasional (BN) Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) bermula berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang terikat 29-29 antara kedua-dua parti itu.

Selepas BN berjaya mendapat sokongan daripada dua wakil rakyat dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star), BN mengisytiharkan menang dengan memperolehi majoriti mudah.

Keadaan itu membolehkan Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, enam Adun BN bertindak meninggalkan BN dan menyokong Warisan menyebabkan Musa tidak lagi memegang majoriti. Situasi itu mendorong Juhar melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, dua hari selepas Musa mengangkat sumpah.