Raymond Ahuar Tidak Terlibat Dengan Dakwaan Kes Rogol – Polis Sabah

544

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kontroversi yang mengaitkan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Raymond Ahuar yang didakwa terlibat dengan kes rogol dua wanita warga asing di Keningau adalah tidak benar.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (gambar) berkata, setelah siasatan dijalankan, kes rogol itu dilakukan oleh seorang lelaki tempatan dan bukannya Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang tular dalam video yang dimuatnaik dalam sebuah portal.

“Suspek sebenar adalah seorang lelaki tempatan yang telah ditangkap pada 25 September dan suspek mengaku terlibat dalam kes (rogol) itu.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan memang benar ada laporan polis dibuat oleh dua wanita dari negara jiran yang menyatakan mereka dirogol seorang lelaki. Namun dalam laporan polis tidak dinyatakan nama pelaku.

RAYMOND AHUAR

“Oleh itu, kita berharap semua pihak akan menghentikan spekulasi ini sebab ianya adalah fitnah yang tidak benar,” katanya ketika ditanya tentang perkembangan kes yang mendakwa penglibatan Ramond dalam kes merogol dua wanita di Keningau.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bersama Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Omar berkata, pengadu sendiri yang membuat pengecaman suspek dan suspek itu adalah orang lain dan bukannya Ketua Pemuda PKR seperti yang ditularkan.

Ditanya adakah tindakan akan diambil terhadap orang yang menyebarkan video berkenaan, Omar berkata, pihak polis akan menyemak kandungan dalam video berkenaan.

Memandangkan Ketua Pemuda PKR itu sudah membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah terhadapnya maka, tindakan lanjut akan diambil setelah siasatan dijalankan.

Kes itu akan disiasat dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah manakala kes rogol membabitkan suspek yang berusia 31 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol.

Omar berkata, kedua-dua mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan adalah kawan.

Kemudian menyentuh tentang perkembangan terkini kes ugutan jenayah oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman terhadap Yang DiPertua Negeri Sabah, Omar berkata, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Peguam Negara dalam masa paling terdekat.

Siasatan mengambil sedikit masa berikutan pelbagai arahan yang diberikan untuk melengkapkan kertas siasatan oleh pejabat Peguam Negara.