Ratusan Artifak, Barang Bersejarah Dipamer Di Muzium Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Lebih 100 seratus artifak bakal dipamerkan di Muzium Tawau apabila ia dibuka kepada umum pada pertengahan September 2020.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, antaranya meriam, lampu rumah api dan tembikar termasuk sebahagiannya berusia lebih 100 tahun.

“Ketika ini, kami sedang mengumpul barang bersejarah berkenaan sama ada hasil koleksi peribadi dari persatuan mahu pun orang persendirian.

“Seperti yang dapat kita lihat hari ini, beberapa pihak tampil menunjukkan koleksi barangan bersejarah milik mereka untuk dinilai pegawai Jabatan Muzium Sabah,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Menurutnya, MPT berbesar hati menerima artifak itu terutamanya membabitkan barangan yang mempunyai kaitan dengan Tawau.

“Muzium Tawau dijangka menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar daerah termasuk pelancong asing.

“Menerusi muzium ini, pengunjung boleh mendapat maklumat awal mengenai sejarah Tawau secara keseluruhan sebelum memulakan lawatan atau percutian di sini,” katanya.

Mengulas lanjut lokasi muzium yang terletak di Jalan Utara, Amrullah berkata, pihaknya bercadang turut membina rumah etnik di tapak seluas 0.8 hektar itu.

“Dalam masa sama, MPT berharap ada syarikat akan tampil menyumbang keperluan termasuk dana menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menaik taraf muzium berkenaan.

“Ini termasuk membabitkan aspek keselamatan seperti pemasangan kamera litar tertutup memandangkan sebelum ini, rumah berkenaan pernah dipecah masuk,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Tetap Koleksi Jabatan Muzium Sabah, Stanley Peter berkata, orang ramai mempunyai tiga kaedah untuk menyertai pameran muzium berkenaan.

“Mereka boleh menjual, menderma atau meminjamkan artifak berkenaan kepada pihak muzium.

“Semua barangan ini akan dinilai oleh pakar berkaitan sebelum diputuskan secara terperinci termasuk jenis, nama dan usianya,” katanya.

Tambahnya, sebaik saja semua proses itu selesai, ia akan dipamerkan di Muzium Tawau.