Rasuah Balak RM263 juta: Musa Aman Diarah Serah Dokumen Lengkap 5 Mac

8248
Musa Aman – Photo courtesy of Berita Harian

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pasukan pembelaan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang didakwa rasuah sebanyak RM263 juta berhubung konsesi balak diarah menyerahkan dokumen lengkap kepada pihak pendakwaan dalam pengurusan kes tersebut pada 5 Mac depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Musa yang berdepan 35 pertuduhan rasuah gagal menyediakan dokumen lengkap berkaitan kes tersebut.

Rozina membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Peguam Musa, Amer Hamzah Arshad.

Terdahulu, Raja Rozela memberitahu mahkamah pihaknya belum dapat melengkapkan dokumen berhubung kes berkenaan kerana menunggu dokumen daripada pembelaan.

“Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan pada bila-bila masa.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan akan memerlukan dokumen tambahan sepanjang proses perbicaraan nanti,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Rozina sama ada dokumen berhubung perbicaraan sudah lengkap atau sebaliknya.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen berhubung kes berkenaan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Semasa prosiding, Rozina turut menegur dan menasihatkan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan supaya berkomunikasi dengan lebih profesional berhubung kes ini.

“Kedua belah pihak mengambil masa terlalu lama iaitu sudah tiga bulan sejak kes Musa ini didaftarkan pada November lalu dan kini sudah di penghujung Februari.

“Tidak kisahlah sama ada jika kes ini didengar di Mahkamah Tinggi atau Sesyen. Kedua-dua belah pihak perlu berkomunikasi dan lebih profesional dan serius dalam mengendalikan kes ini supaya tiada lagi penangguhan berlaku disebabkan perkara kecil,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan dilanjutkan terhadap Musa.

Pada 5 November 2018, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah RM263,460,962.313 daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.