Raspand Edar 800 Cecair Sanitasi Bantu Petugas Barisan Hadapan

Biyazid (kiri) menyerahkan 300 cecair sanitasi dan air mineral kepada wakil PKOB Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kesibukkan melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini, tidak menghalang syarikat terkemuka Raspand Sdn. Bhd. (Raspand) untuk terus membantu petugas barisan hadapan dalam berdepan ancaman Covid-19.

Pengurus Besarnya, Mejar Biyazid Reduan berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM15,000 untuk menyediakan 800 botol pelbagai saiz cecair sanitasi untuk diagihkan kepada pihak berkuasa bertugas sekitar Tawau dan Semporna.

“Selepas lebih dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, kami menjangkakan ia akan mengambil masa lebih lama bagi memastikan Covid-19 ini benar-benar terkawal.

“Justeru, Raspand mengambil inisiatif mendapatkan sendiri cecair sanitasi secara pukal sebelum membotolkannya mengikut saiz bersesuaian sebelum diagihkan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyerahkan  300 botol cecair sanitasi kepada petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tawau di pejabat Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Tambahnya, selain PKOB Daerah Tawau, pihaknya turut menyerahkan cecair berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Semporna, selain di Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.

“Selain cecair sanitasi, bantuan turut diberikan dalam bentuk makanan ringan dan mineral bagi memudahkan petugas barisan hadapan menjalankan tugas,” katanya.