RASA-Kerajaan Negeri Kerjasama Memulihara Wisma Radio Sabah

Hajiji menerima cenderamata daripada Gan Po Tiau.

KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Radio Sabah (RASA) bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan dan memulihara Wisma Radio Sabah untuk dijadikan muzium atau galeri penyiaran.

Presiden RASA, Datuk Gan Po Tiau berkata, mereka sedia menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi memastikan bangunan lama RTM Sabah itu dijadikan khazanah budaya di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormati kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS). Turut hadir adalah Setiausaha Agong RASA Effendi Sunoh, Bendahari Rahim Kahar dan Salim Ibrahim (kordinator media).

Po Tiau berkata, mereka juga membincangkan isu berkaitan pengambilalihan semula tapak dan bangunan Wisma Radio Sabah di KM2.4 Jalan Tuaran itu kepada kerajaan negeri.

Bangunan tersebut masih tersergam di atas anak bukit bersebelahan dengan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan milik Jabatan Audit Negara cawangan Sabah.

“Wisma Radio Sabah masih kekal di atas tapak berkenaan atas inisiatif RASA pada 2016, sewaktu keseluruhan tapak itu diserahkan kepada Jabatan Audit Negara oleh kerajaan persekutuan.

“Ketua Menteri turut menyambut baik syor berkenaan dan menyatakan sokongan bahawa tapak berkenaan wajar diserahkan semula kepada kerajaan negeri.

“Memandangkan ianya telah diisytiharkan sebagai ‘khazanah budaya negeri’ pada 2017 oleh kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Po Tiau berkata, mereka juga mencadangkan untuk membina sebuah tugu bagi memperingati penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Ini kerana Wisma Radio Sabah merupakan sekretariat bagi Suruhanjaya Cobbold yang bermesyuarat dan bersidang di bangunan berkenaan pada Februari 1962,” ujarnya.

Beliau berkata, RASA mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Hajiji yang telah menyatakan sokongan terhadap perjuangan persatuan itu dan keprihatinannya atas isu-isu yang telah dibangkitkan.

Hajiji turut diberi taklimat program dan aktiviti RASA, sebuah NGO yang ditubuhkan pada tahun 2015 dengan anggotanya terdiri daripada pesara Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM Sabah).

RASA turut mempelawa Hajiji sebagai ahli dan penaung memandangkan Ketua Menteri itu pernah bertugas sebagai penyiar di RTM Sabah pada era 70an.