Ras Adiba Diberi Taklimat Sektor Pelancongan, Kewangan Dan Perniagaan Antarabangsa Labuan

LABUAN: Sektor pelancongan serta perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan berkembang dengan baik seiring dengan agenda nasional.

Walaupun pandemik COVID-19 telah menjejaskan operasi kedua-dua sektor itu dengan teruk, rancangan pengembangan perniagaan jangka panjang tidak terjejas.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi diberi penerangan mengenai perkembangan semasa sektor pelancongan Labuan dan pulau bebas cukai itu sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa yang telah menjadi jentera pertumbuhan ekonomi.

Pegawai kanan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) semasa taklimat itu memaklumkan bahawa keperluan fizikal ekonomi yang ditetapkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah dipatuhi.

Mereka berkata keperluan fizikal itu akan memberi faedah kepada ekonomi Labuan, mewujudkan pekerjaan dan mengaktifkan aktiviti ekonomi melalui perbelanjaan tahunan dalam kalangan peserta industri.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut meluangkan masa melawat pejabat Biro Labuan Bernama di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Jalan Tanjung Teras di sini.

Beliau dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Labuan bermula hari ini.