Rancangan Komprehensif Bangunkan Kawasan Luar Bandar Dikenalpasti

859

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENSIANGAN: Kerajaan Negeri akan mengenalpasti sistem yang lebih teratur dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, melihat kegagalan Skim Penempatan Nabawan yang diperkenalkan bertahun dahulu dalam mencapai sasaran membantu rakyat pedalaman maka, beliau mahukan satu sistem yang lebih teratur digunapakai bagi membawa kemajuan di kawasan luar bandar.

“Saya mahu memastikan rancangan pembangunan yang akan dilaksana lebih komprehensif. Ia kerana sudah hampir 50 tahun skim penempatan itu diperkenalkan tetapi ia tidak boleh membawa pembangunan di kawasan pedalaman.

“Maka, apabila saya mahu membuat perubahan, saya berharap akan mendapat kerjasama daripada orang-orang kampung di kawasan pedalaman ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Sambutan Ilau Panawari di Dewan Datuk Lindong Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut, Pensiangan, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, keberkesanan sesuatu sistem pembangunan dianggap berjaya mencapai objektifnya sekiranya penyertaan rakyat secara keseluruhan dapat dilihat.

Katanya, memang penting memperkenalkan sesuatu skim tetapi skim itu perlu mempunyai ruang yang boleh membantu memperbaiki kehidupan rakyat. Dengan itu, Mohd Shafie mahu mengubah cara pemerintahan dan pentadbirannya supaya bukan hanya pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan rakyat dapat dilakukan.

Dalam masa yang sama, beliau meminta penduduk di Sapulut memberi masa kepadanya untuk membawa perubahan di kawasan berkenaan. “Untuk membuat perubahan tidak boleh dilakukan sekelip mata, ia perlukan masa, berikan masa kepada Kerajaan Sabah yang kini dipimpin oleh parti tempatan (Parti Warisan Sabah).

“Maka, kita kena sama-sama memelihara parti ini dengan baik untuk pastikan suara dan kehendak orang Sabah dapat dipenuhi,” ujarnya. Beliau berkata, negara ini sudah merdeka agak lama tidakkan keadaan di Nabawan ini masih seperti zaman 60an.

Oleh itu, beliau meminta Pengerusi Sedco Datuk Richard Gunting supaya membina bangunan kedai konkrit di sini (Pensiangan) supaya masyarakat setempat tidak perlu lagi ke Pekan Keningau untuk mendapatkan barangan keperluan.

Sementara itu, ditanya adakah budaya pentadbiran dahulu yang menghantar pegawai tidak berkhidmat dengan baik ke kawasan pedalaman menyumbang kepada kelewatan pembangunan di pedalaman, Mohd Shafie berkata, beliau tidak ingin menyalahkan sesiapa.

Katanya, Sabah sebuah negeri yang besar jadi pembangunan seimbang harus dilakukan. “Pembangunan seimbang kena ada dan peruntukan harus diselaraskan dengan baik,” jelasnya.

Kemudian ditanya tentang permintaan menjadikan Sapulut sebagai daerah kecil, beliau berkata, permintaan itu akan diteliti secara mendalam. “Saya sentiasa mendengar kepada cadangan-cadangan yang ada. Namun, kita kena lihat juga kapasiti dari segi tenaga kerja. Bila ada permintaan kita akan lihat secara mendalam,” ujarnya