Ranau Tetap Kuat Tanpa Jonathan: Liew

RANAU: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew menegaskan bahawa Ranau tetap kuat dan utuh walaupun ketuanya, Jonathan Yasin keluar daripada parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional pada Mac.

“Kami jangkakan bahawa apabila dia melompat naik kapal, pemimpin yang lain akan mengikuti jejaknya.”

“Sebaliknya, tidak ada yang melompat beramai-ramai mengikutinya. Ini kerana pemimpin dan anggota lain di bahagian ini tidak mahu menjadi katak politik dan mereka juga tidak mahu menggadaikan martabat perjuangan parti,” katanya.

Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian di majlis pembukaan pejabat baru PKR Ranau di Rumah Rehat Lohan, di sini pada Sabtu.

Beliau memuji Peter Sumping yang mengambil alih kepimpinan bahagian itu dan usahanya untuk mengetuai bahagian itu untuk menjaga kubu serta memperkuatkan kedudukan bahagian berkenaan.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertai PKR dan saya difahamkan ada ahli baharu yang menyertai parti ini hari ini,” katanya menggesa kepimpinan baru itu untuk mengaktifkan bahagian dan menjaga kesejahteraan serta kebajikan ahli selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Sementara itu, Liew mengingatkan mereka supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 atau kemungkinan berdepan dengan pilihan raya tergempar.

Sebelum itu, Peter yang mengambil alih tampuk kepimpinan di sana, berikrar untuk membawa ahli di bahagian itu untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah.

Dia juga meyakinkan bahawa lebih ramai orang akan mendaftar sebagai anggota bahagian parti itu di Ranau.

Turut hadir di majlis itu ialah Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua dan setiausaha politik Vivien Liew serta Ketua Bahagian Warisan Ranau, Siriman Basir.