Ranau Terus Membangun Dengan Projek Keseluruhan Bernilai RM217J

Ewon (kiri) mengadakan perbincangan bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penduduk daerah Ranau bakal menikmati pembangunan berterusan apabila pelbagai projek yang dianggarkan bernilai RM217juta akan dilaksanakan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, projek-projek pembangunan itu akan dilaksanakan melalui pelbagai Kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Antara projek itu termasuklah Muzium Tamadun Budaya Etnik Dusun Ranau dengan kos RM2.6juta, Mahkamah Anak Negeri Ranau (RM8juta), SMK Kundasang (baharu) (RM43juta), Loji Rawatan Air Kundasang (RM161.93juta) dan Penempatan Masyarakat Setempat (PMS) di MESEJ Mansalu iaitu projek di bawah KPLB Sabah dengan kos sebanyak RM2juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang Datuk Dr.Joachim Gunsalam dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Rabu.

Ewon yang juga Adun Kadamaian itu berkata, kementeriannya juga menerima cadangan Pembangunan Pekan Baharu Paginatan yang dikemukakan Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir.

Antara projek Pembangunan yang sedang dalam pelaksanaan adalah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau (kolaborasi dengan Petronas) bernilai RM135juta, Masjid Baharu Air-Rahman Ranau (RM11juta), Jalan Rondogung – Telipok (80km) bernilai RM300juta, Pejabat Baru Majlis Daerah Ranau (RM5juta) dan Projek Talian Penghantaran Elektrik 13kv Kota Belud – Ranau.

“Manakala projek pembangunan di daerah Ranau yang sudah siap ialah Kompleks Sukan Ranau (RM28juta), Jalan Bongkud – Mansalu (RM17.5juta), Jalan Kibbas – Mohimboyon (12.3km) dengan kos RM35.5juta, Jalan Kibbas – Liposu (4km) (RM10.2juta), Jalan Piasau – Nagaya (5km) (RM9.8juta), Jalan Langkau – Narambai (5km) bernilai RM11.9juta.

“Jalan Tinompok – Bundu Tuhan – Himbaan sejauh 21km bernilai RM67.69juta, Jalan Himbaan – Terolobou (4.2km) (RM14.22juta) dan Jalan Tompios bernilai RM2.99juta,” katanya dan menambah projek pembinaan Jalan Bongkud – Mansalu fasa seterusnya dimasukkan dalam Rolling Plan 4 (RP4) dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).