Ranau Destinasi Pelancong Utama Di Sabah

CHRISTINA LIEW

Oleh ILONA ANDREW
RANAU: Ranau adalah destinasi utama pelancong yang datang dari dalam luar negara dalam industri pelancongan Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Katanya, daerah itu mempunyai semua ciri-ciri penting dan menarik yang menjadikan destinasi utama pelancong dalam dan luar negara.

Seperti yang diketahui ramai, Taman Kinabalu tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO yang memaparkan ikon Gunung Kinabalu, air terjun dan kepelbagaian bio yang amat luas.

“Puncak gunung Kinabalu yang amat terkenal adalah anugerah Tuhan yang amat berharga untuk kita. Saya sudah mendaki gunung ini dua kali di zaman muda saya,” katanya menambah bahawa daerah ini ada ciri-ciri istimewa yang lain seperti Poring Hot Spring dan Tugu Peringatan Perang Kundasang.

Tarikan lain di kawasan pergunungan ialah ladang penanaman teh Sabah, nurseri orkid Sabah, ladang strawberi, ladang sayuran organik, pusat-pusat peranginan tanah tinggi, hotel dan resort  yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Ketika kita memulihara warisan alam semulajadi, saya percaya masih ada banyak ruang untuk mempelbagaikan industri ini dengan mencipta produk baru pelancongan di Ranau,” katanya di majlis perhimpunan Dewan Perniagaan Cina Ranau, yang diketuai Pengerusinya, Datuk Jimmy Tham Yuk Leong di bangunan Persatuan Hakka Ranau, pada Sabtu.

Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menjawab gesaan Tham itu yang mahukannya untuk memasyhurkan Ranau ke luar dunia.

Katanya, wabak Covid-19  yang masih melanda memberi kesan kepada prospek pelancongan daerah itu.

“Dikurniakan dengan sumber alam semulajadi, Ranau amat sesuai untuk kegiatan pengembaraan dan pelancongan agro. Durian terbaik di Sabah berasal dari sini,” katanya.

Menurut Liew, kementeriannya mengalu-alukan sebarang cadangan bagi produk pelancongan baru daripada Tham, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, komuniti perniagaan tempatan dan para penduduk di Ranau.

Bercakap kepada wartawan, kata Liew jika semuanya mengikut rancangan, kerja-kerja untuk menaik taraf Mata Air Panas Poring akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Hakka Daerah Ranau yang dipengerusikan oleh Tham.

Katanya, persatuan itu boleh menggunakan sebahagian daripada sumbangan itu untuk memperbaiki kerosakan pada bangunan itu yang turut dikongsi oleh Dewan Perniagaan Cina Ranau.

Turut hadir di majlis itu ialah Abidin yang merupakan Penasihat Undang-undang kepada Persatuan Hakka Ranau, Ketua Pembangunan Masyarakat Kundasang Siriman Basir, Penasihat Persatuan Datuk Hiew Sin Kiong, Kapitan Cina Abdul Halik Chong dan Yap Fook Loi serta setiausaha politik Mustapha Sakmud dan Vivien Lee.