Ramli Din Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu Ganti Rashid Harun Yang Bersara

2557
Serah terima tugas antara Abdul Rashid, kiri, dan Ramli berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah  disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, tengah.
Serah terima tugas antara Abdul Rashid, kiri, dan Ramli berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, tengah.

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu berkuat kuasa Selasa.

Beliau menggantikan Datuk Abdul Rashid Harun yang bersara wajib selepas berkhidmat selama 41 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas antara Abdul Rashid dan Ramli berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini Selasa, disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Ramli dalam ucapannya berjanji akan mengekalkan legasi kepimpinan cemerlang Abdul Rashid sepanjang mengepalai kontinjen Negeri di Bawah Bayu itu.

“Saya faham dan sedar tentang kepentingan keselamatan di Sabah kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini telah menyatakan bahawa keselamatan Sabah berada pada tahap tertinggi.

“Oleh itu saya memerlukan kerjasama daripada semua semua pegawai kanan, anggota IPK Sabah serta ketua-ketua polis daerah dapat memainkan peranan masing-masing dalam meneruskan segala yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Abd Rashid yakin Ramli mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

“Sabah mempunyai cabarannya yang tersendiri, namun dengan pengalaman luas bersama PDRM dan saya percaya Ramli berupaya membantu polis kontinjen Sabah untuk terus cemerlang,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis itu Noor Rashid berkata usaha untuk membebaskan lima rakyat Malaysia yang diculik di perairan Dent Haven, Tambisan, Lahad Datu pada Julai lepas masih diteruskan.

“Matlamat kita adalah ingin memastikan kesemua mangsa dibebaskan dalam keadaan selamat dan ketika ini kesemua masih selamat,” katanya.

Masing-masing yang dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat, Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau, adalah kru sebuah kapal tunda.