Rakyat Sabah Diminta Terus Memberi Mandat Kepada Ketua Menteri

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diminta untuk terus memberi mandat yang lebih kuat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan gabungannya yang diketuai Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk kerajaan yang kuat dalam membangunkan negeri ini.

Pengerusi DAP Luyang, Phoong Jin Zhe, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang ini menjadi medan atau berperanan penting dalam menolak budaya perdagangan kuda (horse trading)  dan politik wang yang mana dalam tempoh dua tahun lalu telah mencetuskan beberapa perubahan pemerintahan di seluruh negara.

Ini  katanya termasuk dalam langkah Sheraton yang telah menjatuhkan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan sekarang kerajaan negeri Sabah.

“Kita semua sudah penat dengan semua politik lama, terutama ahli politik lama. Justeru sekarang, tanggungjawab kita adalah untuk perubahan dan reformasi  dalam membersihkan budaya katak daripada berterusan di negara ini.

“Paling penting adalah untuk menyingkir selamanya semua katal politik di Sabah.

“Bagi tujuan itu, kita memerlukan mandat yang lebih kuat daripada rakyat, untuk membentuk pemerintahan dan membina Sabah yang lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena konvensyen tahunan sembilan cawangan DAP Luyang dan Kota Kinabalu, di sini.

Mesyuarat itu menyaksikan pertemuan pemimpin dan ahli daripada sembilan cawangan di Luyang dan Kota Kinabalu, dengan kehadiran tidak lebih 150 orang.

Pada 30 Julai lalu, Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah atas nasihat ketua menteri, berikutan pembelotan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ke kem bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman.

Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat sekali gus dijangka mengumumkan tarikh pengundian pada 17 Ogos ini.