Rakyat Sabah Dapat Perkhidmatan Lebih Baik, Proses Pilihan Raya Mudah

239
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan Adun-Adun dari Sabah di Parlimen pada hari Rabu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Penambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri yang baharu akan memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk mendapat perkhidmatan lebih baik dan berfokus daripada wakil rakyat selepas ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setiap masalah yang disuarakan akan mudah dibawa oleh wakil rakyat ke dalam sidang DUN, justeru kerajaan dapat bertindak dengan lebih berkesan menyalurkan bantuan seperti kewangan dan infrastruktur yang diperlukan.

Katanya, penambahan kerusi itu tepat pada masanya kerana beberapa kawasan di Sabah seperti Kinabatangan dan Lahad Datu adalah lebih luas berbanding negeri Pahang serta Johor, maka lebih banyak wakil rakyat diperlukan bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Sudah pasti wakil rakyat akan lebih berkesan kerana mereka bukan hanya ada masa lebih beri perhatian daripada segi prasarana bahkan kebajikan kawasan-kawasan tertentu kerana pelbagai rayuan serta masalah rakyat akan disampaikan kepada kerajaan.

“Kalau kita bandingkan Perak dan Johor masing-masing ada 59 serta 56 kerusi DUN tetapi keluasannya lebih kecil daripada Kinabatangan serta Lahad Datu sebab itulah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada asas untuk kemukakan cadangan penambahan kerusi ini,” katanya ketika membahaskan usul tambahan 13 kerusi itu di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut diluluskan setelah mendapat sokongan semua 158 yang hadir dalam perbahasan yang melibatkan Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Mohd. Shafie berkata, selain perkhidmatan kerajaan yang lebih baik, penambahan 13 kerusi akan turut memudahkan proses pilihan raya dijalankan manakala setiap pengundi kini lebih mudah menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang dikehendaki.

Katanya, sebelum ini, beberapa kawasan yang terlalu luas dan jauh menyebabkan ada pengundi terpaksa menempuh perjalanan beberapa jam untuk sampai ke pusat mengundi kerana terpaksa menaiki perahu manakala dalam beberapa kes, mereka gagal menunaikan tanggungjawab apabila pengundian telah ditutup.

Selain itu katanya, SPR juga tidak perlu menempuh perjalanan sukar untuk membawa peti undi ke pusat kiraan undi yang membahayakan keselamatan serta menyebabkan keputusan diketahui terlalu lewat sehingga pukul 3 pagi seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Contohnya di Semporna ada 37 pulau kalau mengundi satu DUN berjam-jam lamanya maka kira undi jauh lebih lama daripada Semenanjung, kadang-kadang mengundi tamat pun 5.30 petang walaupun hanya ada 500 pengundi tetapi itu hak rakyat seperti di dalam Perlembagaan.

“Di antara sebabnya juga mempermudah pentadbiran dan pengurusan bila ada tambahan kerusi maka SPR ada masa yang cukup, sebelum ini jarak jauh bawa peti undi ini tugas penting SPR kita akan memudahkan keselamatan mereka,” jelas beliau.

Tambah Mohd. Shafie, beliau telah melihat perancangan tersebut dan yakin kesemua kerusi berkenaan menepati syarat dengan jumlah pengundi antara 7,000 hingga 13,000 orang bagi setiap kawasan.

BERITA BERKAITAN: –

Sabah Dapat 13 Kerusi DUN Tambahan

Tambahan 13 Kerusi DUN Sabah Beri Manfaat Kepada Rakyat – Tun M