Rakyat Sabah Bangkit Kerana Menuntut Hak Yang Dirampas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
BEAUFORT: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan penyatuan rakyat Sabah menentang pemimpin Persekutuan bukannya untuk mewujudkan konflik tetapi demi menuntut hak Sabah yang dirampas selama ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, rakyat Sabah tidak pernah membenci orang Semenanjung, tetapi disebabkan pemimpin Malaya mengingkari Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), maka rakyat Sabah bangkit menuntut.

Katanya, apa yang dituntut oleh rakyat Sabah adalah hak sendiri, tidak seinci pun hak Semenanjung diganggu melainkan apa yang selayaknya diterima rakyat negeri ini.

“Kita bukan mahu bergaduh dengan Kuala Lumpur takkan bila kita tuntut kita mahu konflik, kita mahu tuntut apa hak Sabah kita mahu tuntut apa hak kita yang sepatutnya.

“Kita mahu bekerjasama soal pembangunan negara tetapi dalam soal politik kita berbeza sebab apa yang kita tuntut adalah hak rakyat Sabah, apa hak kita, kita punya minyak bukan Kuala Lumpur punya, hak kita gas kita bukan Kuala Lumpur punya gas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan hari ini.

Mohd. Shafie berkata, Sabah mempunyai rizab minyak terbesar di Malaysia iaitu 37 peratus daripada jumlah keseluruhan, malangnya 95 peratus daripada hasil itu diambil oleh Kerajaan Persekutuan.

Begitu juga dalam soal kutipan cukai, katanya, Perlembagaan jelas mengatakan 40 peratus dari cukai yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah perlu dipulangkan tetapi tidak pernah dilaksanakan.

Sebab itulah katanya, rakyat Sabah telah sedar dan bangkit menuntut hak mereka ditunaikan.

“Bila kita mahu tuntut ditafsirkan kita mahu gaduh, apa masalah dia kalau kita tuntut hak kita, sawit kita, kita yang bagi baja kita tanam lima tahun kita jaga, berpanas berhujan tetapi Kuala Lumpur cukai,” tegasnya.

Tambahnya, soal pembangunan infrastruktur negeri, itu memang tanggungjawab Persekutuan untuk melaksanakannya kerana telah termaktub di dalam MA63.

“Hak kerajaan pemerintah dalam Perlembagaan mereka pungut 40 peratus cukai dari bumi Sabah itu hak dorang untuk bangunkan Sabah, perjanjian kita, kita pulangkan balik duit ini utk buat jalan raya buat hospital buat sekolah jaga keselamatan itu perjanjian.

“Kuala Lumpur bergantung kepada minyak Sabah kalau tiada minyak itu habis Semenanjung, simpanan rizab minyak Malaysia 37 peratus di bumi Sabah tetapi kita punya minyak mereka dapat 95 peratus,” katanya.