Rakyat Perlu Sentiasa Patuh SOP, Jaga Kesihatan – Wetrom

Wetrom (empat dari kanan, memegang banting, tengah) bersama pengakap-pengakap semasa sesi pemberian sumbangan baru-baru ini.

KOTA MARUDU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Wetrom Bahanda menyeru semua rakyat Sabah untuk terus berjaga-jaga dan sentiasa beringat tentang bahaya pandemik Covid-19.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau berkata, Sabah masih mencatatkan angka kes baharu yang tinggi setiap hari. Maka, pematuhan dan kawalan kendiri dalam diri rakyat amat penting pada saat ini.

“Sentiasa berjaga-jaga, amalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka atau pelindung wajah sekiranya perlu keluar ke tempat kerja atau membeli barang keperluan kerana kita tidak dapat jangka dari mana dan dari siapa virus itu akan ada dan mampu menjangkiti kita.

“Terus ikuti perkembangan semasa dan paling penting untuk amalkan kebersihan diri dan ahli keluarga yang dalam kawalan kita seperti kerap mencuci tangan dengan air bersih dan sabun antibakteria atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer),” katanya.

Beliau bersama Persatuan Pengakap Kota Marudu turun padang dan memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Langkon kelmarin.

Wetrom (empat dari kiri, barisan hadapan) menyampaikan sumbangan.

Hadir sama semasa sesi pemberian sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya Pengakap Kota Marudu, Zatun Mumin.

Wetrom berkata, petugas barisan hadapan hingga kini bertungkus-lumus bagi merawat dan mengekang Covid-19 dari terus menular dan beliau meminta agar semua pihak menghargai jasa petugas barisan hadapan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita, sebagai rakyat Malaysia, rakyat negeri Sabah yang kita cintai, marilah kita bersama-sama terus patuh pada arahan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 kerana petugas barisan hadapan kita bermati-matian berjuang demi kita semua.

“Kita juga perlu menjadi petugas barisan hadapan dalam keluarga kita, komuniti kita dan di tempat kerja kita kerana kita perlu menjaga satu sama lain, ini tanggungjawab sosial kita bersama dan terus saling mengingati agar kita semua sentiasa beringat dan tidak alpa dengan musuh yang kita dapat lihat dengan mata kasar ini (Covid-19),” jelasnya.