Rakyat Perlu Bertoleransi Dalam Kehidupan Bermasyarakat – Shafie

SHAFIE APDAL

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Rakyat di Sabah diingatkan supaya menjauhkan diri daripada terlibat dengan politik bersifat perkauman yang mampu mengugat keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, beliau mahu masyarakat menjauhkan diri daripada politik perkauman.

“Ia kerana bangsa dan agama seringkali digunakan oleh sesetengah parti politik untuk memisahkan dan mengundang ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Kita sedih melihat sebahagian dari rakyat Malaysia mempunyai ketidakpercayaan yang tinggi terhadap bangsa dan agama lain. Atas sebab itulah kita harus menghindarkan diri daripada politik bersifat perkauman,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018, di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Wan Azizah menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018 dengan meletakkan tongkat, turut kelihatan Tun Juhar Mahiruddin (empat kanan), Toh Puan Norlidah RM Jasni Mohamaddin Ketapi (dua kanan) dan Christina Liew (dua kiri), yang mewakili Ketua Menteri Sabah.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diperingkat Persekutuan dan Parti Warisan Negeri bersama-sama PKR dan DAP serta Upko diperingkat Negeri akan bekerjasama erat bagi memperlihatkan kesepaduan sebenar yang wujud dalam masyarakat Malaysia.

”Kita berjanji untuk membawa perubahan dan memecahkan dasar bersifat perkauman yang dilaksana kerajaan terdahulu dibawah pimpinan Umno.

”Perjanjian itu sudah mula ditunaikan dan kita akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan perubahan ini bukan hanya berlaku di Sabah tetapi juga di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, sikap toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sabah membolehkan masyarakat berjaya menepis cubaan pihak luar yang ingin memecahbelahkan perpaduan kaum di negeri ini.

Beliau berkata, toleransi dan pemahaman yang baik tentang budaya hidup masyarakat yang pelbagai kaum membolehkan rakyat di negeri ini berdiri teguh walau ada pihak yang cuba mengugat perpaduan yang dikecapi kini.

Antara persembahan tarian kebudayaan yang diadakan sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018.

“Saya percaya ini juga disebabkan cara kehidupan masyarakat di Sabah yang bersatu melalui perkahwinan campuran dengan kaum dan agama yang berlainan.

“Kita melihat pelbagai bentuk dan elemen ektremis yang cuba mengugat ikatan yang menyatukan masyarakat di negeri ini namun, rakyat Sabah sentiasa bersatu dalam sebuah keluarga yang besar.

“Saya percaya dalam kita menuju ke arah Malaysia baharu, penting bagi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk meraikan penyatuan ini dalam kepelbagaian agar kita boleh membangunkan dan membawa negara kita ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Mohd Shafie juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa memelihara keharmonian dan kepelbagaian budaya yang ada di negara ini supaya usaha membangunkan sosioekonomi negara dapat diteruskan.

Katanya, jadikan kepelbagaian budaya itu asas serta komitmen rakyat dalam menolak ancaman negatif daripada pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.