Rakyat Penampang Digalak Tanam Lebih Banyak Pokok Di Tebing Sungai

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL PENAMPANG: Kejadian banjir bukanlah sesuatu yang baharu bagi penduduk di beberapa kampung di daerah Penampang dekat sini kerana setiap kali musim hujan kampung mereka akan dinaiki air.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Jenifer Lasimbang berkata, orang ramai harus mengambil inisiatif untuk menanam lebih banyak pokok untuk mengatasi masalah hakisan di tebing sungai sekali gus mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

“Untuk penebatan banjir yang lebih efektif, penduduk kampung haruslah menanam pokok.
                                                                               “Hari ini juga saya telah menjemput agensi kerajaan seperti Taman-taman Sabah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian dan pemimpin serta penduduk kampung itu sebab program ini mempunyai satu sasaran yang sangat tinggi ,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Kempen Moyog Satu Juta Benih Pokok sempena Hari Tanah Sedunia, semalam.

Jenifer berkata, tujuan utama program itu diadakan adalah untuk melihat keadaan di sekitar kawasan Penampang yang sudah lama dibelenggu dengan masalah banjir sekali gus meneliti langkah dan pelan mitigasi untuk mengatasi banjir di kawasan  itu.

Tambahnya, masalah banjir sungai Moyog bukan sahaja melibatkan penduduk kampung Penampang tetapi turut melibatkan penduduk dari daerah yang berhampiran seperti Putatan.

“Jadi, bukan sahaja daerah Penampang atau ADUN Moyog yang ingin memberi sokongan kepada  program ini tetapi mereka  di kawasan Petagas, Putatan pun beri sokongan.

“Hal ini kerana mereka pun akan terima kesan banjir dan sekarang ini di tebing sungai mengalami banyak hakisan dan ini sangat membimbangkan,” katanya.

Mengenai kempen itu, katanya, pejabat ADUN Moyog  menyasarkan penanaman anak benih pokok sebanyak satu juta menjelang tahun 2020 hadapan.     

Jelasnya, melalui kempen itu, satu pertandingan akan diadakan untuk mengalakkan badan bukan kerajaan (NGO) , penduduk kampung dan masyarakat secara amnya untuk menjayakan sasaran penanaman satu juta pokok itu.

Menurutnya, pertandingan itu terbahagi kepada beberapa kategori  iaitu kategori pertama melibatkan organisasi seperti NGO, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),  agensi kerajaan dan sekolah, kategori individu serta kategori inovasi.

“Terdapat satu kategori yang istimewa, sebagai Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, saya ingin melihat satu kategori yang bersifat inovatif di mana individu itu misalnya menggunakan bahan terbuang untuk menanam benih pokoknya,” ujarnya.

Katanya, keputusan pertandingan Kempen Moyog Satu Juta Benih Pokok itu akan diumumkan pada Hari Sungai Sedunia, September 2020.