Rakyat Paitan Dijemput Meriahkan Karnival Koperasi Pertanian

108
AIDI MOKTAR

BELURAN: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia Datuk Seri Rina Harun dijadualkan akan ke daerah Paitan, Beluran pada 22 Ogos untuk Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Komuniti Masyarakat Paitan .

Majlis itu akan turut dihadiri oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar yang juga “Bapa Angkat” kepada Daerah Kecil Paitan.

Aidi dijangka merasmikan Koperasi Pertanian Desa Sabah Berhad Daerah Kecil Paitan di Kawasan Lapang Pusat Komuniti Masyarakat Paitan Kampung Batangon Darat, Paitan sebelum majlis penyerahan itu bermula.

RINA HARUN

Program lain yang akan turut dijalankan adalah Mobile CTC Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Perbendaharaan Malaysia Sabah), Karnival Petani Desa anjuran Koperasi Petani Desa Sabah Berhad, Program Penerangan Penanaman Pertanian serta Program Penerangan dan Taklimat ‘Native’.

Pengasas Yayasan Afat Rahman Awang Fauzi Ahmad Tarmizi mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan majlis yang julung-julung kali dihadiri Menteri KPLB Malaysia dan Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Anak Negeri itu.

Dijangka lebih 1000 orang akan hadir pada karnival pertanian yang akan menyaksikan penyerahan bangunan Pusat Komuniti Masyarakat Paitan.

Pusat Komuniti Paitan yang berkeluasan 1,650 kaki persegi ini dibangunkan hasil sumbangan Yayasan Afat. Ia siap dibina pada Disember 2016.

Pusat ini akan dimanfaatkan sebagai tempat menjalankan aktiviti seperti perjumpaan sosial, politik dan rekreasi.

Pusat komuniti ini juga boleh dijadikan pusat pengumpulan produk pertanian yang terdapat di daerah Paitan. Ia boleh digunakan untuk penduduk menjana ekonomi keluarga masing-masing.

Penubuhan Pusat Komuniti Masyarakat ini juga boleh menjadi tempat memupuk perpaduan dan semangat kejiranan, disamping melahirkan masyarakat yang produktif dalam menyumbang kepada pembangunan Sabah.