Rakyat Malaysia Perlu Berpandangan Luas Untuk Capai Agenda Besar Negara

mmm
From left – Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Musa Aman, Najib, Datuk Wilfred Tangau and Donald Mojuntin as the UPKO supreme council pose with the prime minister on Saturday. – BorneoToday photo

PENAMPANG – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh rakyat Malaysia agar membudayakan sikap berpandangan jauh dan berfikiran luas untuk menjadikan agenda besar Malaysia menjadi negara kelas pertama, suatu realiti.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia tidak harus terkongkong dan menyibukkan diri dengan hal remeh-temeh kerana keadaan seperti itu cuma akan menyebabkan negara ini akan tertinggal jauh ke belakang berbanding negara lain.

“Kita ada agenda besar. Kita bukan nak jadi negara kelas kedua, bukan. Kita tidak mahu menjadi negara biasa-biasa sahaja. Kita mahu Malaysia menjadi negara terbaik di kalangan yang terbaik di muka bumi ini.

“Sebab itulah, saya mencadangkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 inilah satu proses dialog dari akar umbi. Apa tujuannya? tujuannya untuk menentukan hala tuju baharu untuk meletakkan Malaysia ini di puncak kegemilangan sebagai sebuah negara kelas pertama yang boleh kita banggakan,” katanya.

jibby2

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di Pusat Kebudayaan Sabah di sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Madius Tangau, Presiden Kehormat Upko yang juga Duta Malaysia ke Holy See Tan Sri Bernard Dompok serta pemimpin parti komponen BN.

Menurut Najib, rakyat Malaysia perlu melihat ke hadapan dan sebagai perdana menteri, beliau akan terus bersikap terbuka dan merendah diri dalam melayani apapun rungutan dan permintaan rakyat untuk memastikan agenda besar negara tercapai.

Sebagai contoh, katanya, beliau bersikap terbuka dalam soal Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Malaysia dan sekiranya ada perbezaan tafsiran, pintu sentiasa terbuka untuk perkara itu dirundingkan.

“Saya tak nak ambil hak orang Sabah. Hak orang Sabah saya nak ia dipertahankan. Tapi saya minta jangan kata kami mahu keluar dari Malaysia. Tidak..Tidak…Tidak.

“Kita di dalam satu keluarga, kita tetap bersama dalam ikatan Malaysia,” katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada kira-kira 1,750 perwakilan Upko.

Menurut Najib, beliau akan memastikan Sabah terus maju dengan pembangunannya mengimbangi kemajuan yang telah dicapai di Semenanjung dan akan terus memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan tuntutan mereka.