Rakyat Makin Terbuka Sokong Parti Tempatan – Warisan

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini dilihat semakin berani menyokong mana-mana parti secara terbuka.

Sebagaimana di Sarawak, semakin ramai rakyat Sabah menyokong parti tempatan.

Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, menyedari hakikat itu, Warisan kini bergerak aktif untuk menyedarkan rakyat bahawa perjuangan mengembalikan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya akan dicapai sepenuhnya jika Sabah diperintah oleh parti tempatan.

Justeru itu, Warisan sedang menyusun program untuk memperkukuh dan memperkasakan parti dengan mendekati rakyat di seluruh negeri.

“Saya menyifatkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi terhadap Warisan amat luar biasa dan meyakinkan.

“Rakyat berani memberikan sokongan secara terbuka kepada parti ini,” katanya dalam satu kenyatana hari ini.

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob adalah perkara yang berlaku pada Oktober tahun lalu ketika beliau keluar daripada Warisan.

Bagi Warisan, perkara itu sudah berlalu dan tidak menjejaskan kekuatan dan perjuangan parti. Warisan amat kukuh di Sindumin dan mempunyai sokongan yang padu di kawasan tersebut.

“Namun, saya hanya hairan kerana pada ketika itu Yusof seolah-olah mahu menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi akhirnya beliau memilih UMNO pula,” katanya.

Pada masa ini, Warisan mempunyai 19 ADUN yang memahami aspirasi dan nilai perjuangan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.