Rakyat Kelaparan, MP Kerajaan Sedap Makan Hidangan RM10,000 Di Parlimen

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Ketika rakyat dihimpit kesukaran hidup sehingga ada yang terpaksa berlapar, Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan pula selesa menikmati hidangan istimewa yang menelan belanja sehingga RM10,000.

P. Prabakaran

Hidangan istimewa seperti udang galah dan ketam itu pastinya enak, namun persoalannya kenapa pemimpin boleh menikmati hidangan istimewa itu ketika rakyat pula sedang mengikat perut?

Lebih mengejutkan, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang membangkitkan perkara itu berkata, hidangan tersebut ditaja oleh kementerian dan syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan duit rakyat sejak 13 Julai lalu sehingga 27 Ogos depan.

Menurut Prabakaran, peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang berdepan dengan kesan pandemik Covid-19.

“Dalam jadual tersebut, antara kementerian dan GLC yang menaja jamuan itu ialah Kementerian Kewangan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Raya (Mara), Tekun, Prasarana, Felda dan MPOB (Malaysia Palm Oil Board).

“Saya ingin tanya, peruntukan yang digunakan oleh kementerian dan GLC ini duit siapa? Ini wang rakyat bagi tujuan memajukan negara,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen seperti dilaporkan Sinar Harian.

Prabakaran turut mempersoalkan keperluan disediakan hidangan tersebut kerana kafetaria telah disediakan di Parlimen untuk ahli Parlimen makan dan minum.

“Saya juga difahamkan ada Ahli Parlimen yang membungkus dan membawa pulang ke rumah masing-masing.

“Dalam keadaan rakyat mengikat perut sehingga ada yang makan ubi kentang, ahli Parlimen kerajaan boleh makan udang galah, ketam, ayam kampung dan pelbagai masakan yang enak,” bidasnya.

Prabakaran pada sidang media sama turut mengajak peneroka Felda untuk hadir ke Parlimen pada 25 Ogos ini untuk makan bersama Ahli Parlimen kerajaan kerana jamuan tersebut ditaja oleh Felda.

“Mereka menggunakan wang peneroka untuk mengadakan jamuan makan di Parlimen,” katanya.