Rakam Nasihat Pelajar Jaga Disiplin Dan Hormat Guru

TUARAN: Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Rakam Sijim menyatakan tugas guru kini semakin mencabar justeru mereka harus kreatif dan inovatif dalam penyampaian ilmu kepada pelajar.

Rakam berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru dan Hari Raya Aidilfitri 2019 Sekolah Kebangsaan Berungis, Tuaran baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh sekitar 400 orang para guru, murid-murid, ibu bapa dan penduduk kampung-kampung berhampiran yang terdiri dari semua lapisan masyarakat.

Rakam menekankan, komuniti hendaklah memberi sokongan dan kerjasama kepada pihak sekolah di samping peranan yang proaktif dimainkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Kerjasama dan sokongan amatlah penting dalam usaha untuk meningkat dan mengekalkan pencapaian dalam pendidikan serta menyebarkan ilmu pengetahuan, katanya lanjut.

Ibu bapa khususnya hendaklah memberi perhatian kepada pembelajaran anak lebih penting lagi dengan kuatnya pengaruh media sosial masa ini, tambahnya.

Rakam berkata, untuk sekolah terus cemerlang murid-murid hendaklah berdisiplin serta hormat kepada guru dan memberi tumpuan yang penuh semasa di dalam darjah.

Selain itu, budaya membaca juga hendaklah menjadi amalan masyarakat termasuk murid-murid, ujar Rakam.

Ketika ini SK Berungis mempunyai 31 orang guru dan 448 orang murid dari pelbagai latarbelakang memberikan cabaran yang besar kepada guru-guru.

Menyentuh tentang amalan mengadakan rumah terbuka, Rakam berkata ianya dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk Negeri Sabah.

Selain dapat mengeratkan silaturrahim, budaya mengadakan rumah terbuka juga dapat meningkatkan semangat dan sikap hormat menghormati.

Rumah terbuka menunjukkan keunikan Malaysia dan ianya memberi peluang kepada pelbagai kaum mempelajari dan memahami adat resam, amalan dan budaya masing-masing.

Dalam skop yang lebih besar rumah terbuka boleh menjadi tarikan pelancong di samping peluang untuk menikmati juadah dan hidangan makanan yang berbeza, jelas Rakam.