Raisol Sebagai Acara Tahunan UPKO

Madius (tengah), Pengerusi penganjur Kaamatan Upko Tuaran Ricky Chin (lima dari kiri), Setiausaha Politik Joisin Romut (empat kanan), Pengerusi penganjur Rayner Ebi (kanan) bersama para pemenang.

TUARAN : Timbalan ketua menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengumumkan pertandingan Pidato dalam bahasa Kadazandusun akan menjadi acara tahunan Upko.

Madius berkata, walaupun acara pidato ini belum secara rasminya dijadikan acara tahunan Upko diperingkat nasional namun di peringkat bahagian, Upko Tuaran akan menjadi pelopor kepada penganjuran dan akan dipanjangkan kelak di peringkat nasional.

Awalnya, Upko bahagian Tuaran telah mengadakan Pertandingan Pidato atau Raisol dalam bahasa Kadazandusun bersempena sambutan Kaamatan Upko Tuaran yang berlangsung di dewan serbaguna Tamparuli Ahad lepas.

Madius berkata, pertandingan Raisol dengan tema “Kaamatan sebagai wadah perpaduan kaum” bukan sahaja tertumpu kepada seni raisol semata-mata malah peserta sebenarnya bertanggungjawab untuk mempelajari dan mendalami bahasa yang digunakan.

“Saya dapat melihat usaha meperkukuh kelestarian bahasa Kadazandusun melalui penganjuran ini. Justeru, saya sangat menyokong dan berpendapat sebaiknya acara ini diteruskan sebagai acara tahunan Upko,”ujar Madius.

Madius sebagai presiden Upko dan juga ahli parlimen Tuaran berkata demikian ketika ditemui semasa sambutan pesta Kaamatan Upko Tuaran semalam.

Madius menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Remaja, Bibiana Lojun.

Katanya, bahasa ibunda merupakan lambang identiti sesebuah bangsa atau suku kaum. Justeru semua anggota masyarakat seharusnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan kewujudan bahasa ibunda.

Walau dengan apa cara sekali pun perlu dilaksanakan termasuklah dengan menganjurkan sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan bahasa Kadazandusun secara optimum selain daripada cuba membudayakannya sebagai bahasa pertuturan seharian di rumah, tambahnya.

Menurut pengerusi penganjur Rayner Ebi, pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori 20 tahun ke bawah (Remaja) dan 21 tahun ke atas(Dewasa). Pada awalnya, penyertaan keseluruhan bagi kedua-dua kategori adalah 18 orang namun ada peserta telah yang menarik diri atas sebab tertentu.

Bibiana Lojun tampil sebagai pemenang kategori remaja manakala Leolerry Lajius johan kategori dewasa setelah masing-masing berentap dengan tujuh orang dan enam orang peserta lain.

Madius dilihat sudah sekian lama giat menyokong usaha melestarikan bahasa Kadazandusun bukan sahaja melalui Upko malah organisasi lain. Salah satu adalah penganjuran Raisol oleh Sidma Kolej tahun lepas.

Madius juga telah merasmikan “Sodop Pisompuruan” Sidma Kolej pada 30 November 2018 yang berlangsung di Shangri -LA Tanjung Aru yang mana sebagai sesi penganugerahan semua acara tahun tersebut bagi kolej itu.

Madius menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Dewasa, Leolerry Lajius.
SHARE

If you have any comments or thoughts on this news do send us an email.

Previous article
Next article