Raikan Kepelbagaian Bantu Kukuh Perpaduan Kaum Di Sabah

824

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengingatkan rakyat Sabah agar mengukuhkan keamanan dan perpaduan kaum yang dikecapi hari ini demi pembangunan yang lebih mampan.

Beliau berkata, perpaduan yang kukuh mampu menyumbang kepada pembangunan yang lebih mapan serta kemakmuran untuk manfaat semua kaum secara keseluruhannya.

Untuk itu, rakyat di negeri ini harus menghargai kepelbagaian budaya dan latar belakang masyarakat yang berbilang kaum yang ada di Sabah.

”Saya juga yakin, sambutan Tahun Baharu Cina adalah medium terbaik untuk menonjolkan keunikan budaya masyarakat Cina di Sabah.

“Melalui perayaan ini, kita dapat mengenali keunikan salah satu daripada puluhan kaum dan budaya yang terdapat di Malaysia khususnya, di Sabah.

“Apa yang lebih penting, perayaan ini juga diraikan oleh suku kaum lain melalui jemputan rumah-rumah terbuka dan sebagainya.

“Kesepaduan dan keharmonian ini membuktikan perpaduan di Sabah masih lagi berada pada tahap yang utuh,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2020, di sini hari ini.

Mohd Shafie, isteri dan seluruh keluarga turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya bukan sahaja di Sabah, tetapi  juga di seluruh Malaysia amnya.

Katanya, beliau sentiasa ingat, sewaktu kecil, beliau turut bersama-sama menyertai perayaan ini.

”Bunyi dentuman mercun, disusuli dengan bunyi gendang dan tarian naga yang berwarna-warni menandakan Tahun Baharu Cina sudah tiba.

“Tahun Baharu Cina mengingatkan kita semua bahawa Sabah terlahir daripada kepelbagaian adat dan budaya.

“Namun, kita hidup dalam keadaan yang damai dan harmoni. Ini kerana kita di Sabah saling menerima dan meraikan kepelbagaian yang ada.

“Sudah tentu, Tahun Baharu Cina adalah  kesempatan untuk kita bergembira. Kepada semua yang meraikannya, sekali lagi saya dan keluarga mengucap selamat tahun baharu. Semoga tahun ini akan membawa lebih kebahagiaan, kesejahteraan, keharmonian dan tuah kepada kita semua,” ujarnya.