Rahman Dahlan Sendiri Gagal Bawa Pelaburan Berbanding Shafie

Oleh CHRISTOPHER MASUDAL
KOMEN: Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang tular di media sosial mengenai status beberapa pelaburan asing yang dibuat di negeri Sabah dan sekali lagi sebagai warga Sabah yang prihatin, saya terpanggil untuk memberikan komentar mengenai isu-isu yang cuba dibangkitkan olehnya.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang telah berkerja keras bersama-sama dengan bekas Menteri Perdagangan Luar dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Menteri Perdagangan dan Industri (Sabah), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam membawa pelabur-pelabur luar untuk datang dan melabur di negeri ini.

Enam pengumuman pelaburan asing yang telah disebut oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan itu menjadi pengakuannya sendiri kepada kita semua bahawa Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Darell Leiking sememangnya telah berusaha gigih untuk membawa pelabur-pelabur asing ke negeri ini dan ini sekaligus menyangkal dakwaan beberapa pihak terutamanya yang tidak mengikuti perkembangan ekonomi bahawa kedua-dua pemimpin ini tidak berbuat apa-apa dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Dalam hal ini, pengumuman-pengumuman yang dibuat melalui pelbagai majlis atau acara menandatangani perjanjian ini sebenarnya lebih bersifat publisiti yang dirancang dan dianjurkan oleh pelabur-pelabur itu sendiri untuk menunjukkan komitmen mereka kepada Kerajaan bahawa mereka benar-benar mahu melabur dinegeri ini serta faedah-faedah yang bakal dinikmati oleh rakyat hasil daripada pelaburan tersebut disamping untuk menggalakkan lebih ramai orang membeli saham syarikat mereka.

Majlis atau acara tersebut bukannya dianjurkan oleh mana-mana agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan mahupun Pejabat Ketua Menteri.

Sepertimana yang saya telah jelaskan kepada Abd. Rahman Dahlan beberapa hari yang lalu mengenai proses pelaburan asing  di negeri ini, sebarang Memorandum Persefahaman ataupun Usaha-sama mengenai pelaburan di negeri ini bukanlah sesuatu yang akan menjamin ‘realization’ pelaburan tersebut – masih terdapat proses-proses lain yang masih perlu dilalui seperti kelulusan EIA, lesen mengilang, insentif cukai, permit untuk pekerja asing, kelulusan pengimportan besi keluli untuk tujuan pembinaan kilang dan sebagainya dari pihak agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.

Selain daripada itu, pelabur-pelabur ini juga masih perlu membuat beberapa siri rundingan dengan pembekal-pembekal yang akan membekalkan ‘enablers’ untuk pelaburan tersebut contohnya kadar tariff elektrik dan air untuk penjanaan mesin kilang, gas untuk baja ataupun pasir untuk pembuatan kaca.

Maka di sini kita dapat lihat bahawa walaupun pengumuman-pengumuman mengenai pelaburan tersebut telahpun dibuat, masih terdapat beberapa kekangan pelaburan yang masih perlu dilalui oleh pelabur-pelabur tersebut khususnya yang berkaitan dengan 5 dan 6 diatas dan disinilah Datuk Seri Shafie akan memainkan peranan sebagai ‘facilitator’ dalam membantu mereka melalui proses-proses tersebut semata-mata untuk merealisasikan pelaburan-pelaburan ini.

Proses-proses permohonan, kelulusan serta persetujuan harga dengan pembekal-pembekal ini mungkin akan mengambil masa antara 1 hingga 3 tahun dan kerja-kerja pembinaan kilang akan berlansung selepas sahaja kekangan-kekangan 4 dan 5 diatas diatasi dengan operasi akan bermula selesai sahaja kilang tersebut disiapkan dalam masa 4 hingga 5 tahun.

Dan wabak Covid 19 semestinya akan memberikan impak yang besar dalam pelaburan-pelaburan asing ini dan ‘realization’ mungkin akan menjadi lambat.

Saya andaikan bahawa Abdul Rahman Dahlan tahu mengenai proses-proses ini memandangkan beliau ialah bekas Menteri dalam Pejabat Perdana Menteri dan bertanggungjawab menyelia Unit Perancang Ekonomi (EPU) maka dia sepatutnya tahu dan sedar bahawa status mengenai pelaburan-pelaburan tersebut hanya boleh dinyatakan samada oleh pelabur-pelabur tersebut sendiri ataupun agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dengan pelaburan tersebut dan bukannya Ketua Menteri yang hanya bertindak sebagai ‘facilitator’.

Sebagai contoh, sekiranya perundingan antara pelabur dan pembekal mengenai kadar gas yang saya nyatakan di perenggan 5 diatas mencapai jalan buntu kerana pembekal tidak mahu memberikan kadar yang kompetetif kepada pelabur, maka pelabur akan menarik diri maka adalah tidak masuk akal sekiranya Ketua Menteri akan dipersalahkan atas rundingan perniagaan yang gagal!

Namun perkara pokok yang patut diketahui oleh rakyat Sabah berikutan dengan isu pengumuman-pengumuman yang didedahkan oleh Abdul Rahman Dahlan ini bukanlah mengenai pengumuman itu sendiri tetapi personaliti Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Darell Leiking yang mampu menarik hati para pelabur dari seluruh dunia dan keupayaan mereka untuk membawa pelaburan luar masuk ke negeri ini.

Ini terbukti apabila gandingan Datuk Seri Shafie Apdal atau Datuk Darell Leiking telah membolehkan Sabah dinobatkan sebagai negeri yang mendapat kelulusan pelaburan tertinggi di Malaysia untuk tahun 2019 – satu rekod yang mungkin gandingan Musa Aman atau Abdul Rahman Rahman hanya mampu mimpikan.