Rahman Dahlan Projek TSGP Ada Laporan EIA Atau Tidak?

Oleh CHRISTOPHER MASUDAL
KOMEN: Beberapa hari yang lalu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan telah mempersoalkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Warisan Plus untuk membangunkan Kampung Meruntum, Putatan melalui projek usaha-sama bernilai RM7 billion yang dimeterai antara Tegas Bangsa Sdn. Bhd. (anak syarikat kepada Pavilion Real Estate Investment Trust) dan Yayasan Sabah yang akan dilaksanakan dalam beberapa peringkat dalam jangkamasa 15 tahun.

Sepertimana yang tertulis dalam laman Rahman Dahlan sendiri, dia telah menyoal samada kajian alam sekitar untuk projek tersebut telahpun dibuat serta isu timbal balik yang dibangkitkannya hasil daripada usahasama tersebut.

Selang tiga hari kemudian, Rahman Dahlan pula telah bertanyakan mengenai status pengumuman yang telah dibuat oleh Kerajaan Warisan Plus pada 2018 dan 2019 tentang pelaburan-pelaburan asing di negeri ini.

Saya telah memberikan komentar-komentar saya kepada kedua-dua isu yang cuba dibangkitkan oleh Rahman Dahlan di atas dan berdasarkan kepada beberapa mesej yang saya terima daripada rakan-rakan serta kenalan, secara peribadi saya mendapati bahawa Kerajaan Sabah mempunyai kelemahannya tersendiri dalam sistem penyampaian maklumat mengenai topik pelaburan asing di negeri ini sehinggakan banyak perkara dipolitikkan contohnya kehadiran syarikat-syarikat gergasi China serta pekerja-pekerja mereka.

Merujuk kembali kepada isu-isu yang cuba dibangkitkan oleh Rahman Dahlan mengenai cadangan memajukan Kg Meruntum, Lok Kawi, saya ingin mendapatkan kepastian daripadanya mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang telah dibongkar oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2018.

Kepada rakyat Sabah yang tidak mengetahui tentang isu ini, projek TSGP ialah satu projek mega bernilai RM4.5 billion kendalian Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), anak syarikat kepada Ministry of Finance (MOF Inc) yang diterajui oleh Najib Razak ketika itu.

Menurut sumber berita, China Petroluem Pipeline Bureau (CPPB) telah dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja pembinaan jalinan paip gas sepanjang 600 kilometer dari Kimanis hinggalah ke Lahad Datu untuk membekalkan gas asli milik Petronas yang akan digunakan untuk mengatasi masalah bekalan elektrik yang tidak stabil Pantai Timur.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada 2018, TSGP telah diklasifikasikan sebagai ‘Fail Merah’ oleh Lim Guan Eng berikutan dengan penemuan mengejutkan bahawa 80% daripada dana projek (RM4.5 billion) tersebut yang telah sebenarnya dibiayai melalui hutang dengan Exim Bank of China telah dibayar kepada CPPB sedangkan kerja yang disiapkan cuma 13%!

Berikutan dengan itu, Tun Mahathir telah membuat keputusan yang tepat untuk berunding dengan Kerajaan China dalam pembatalan projek tersebut kerana tidak masuk akal untuk Kerajaan Persekutuan menjamin satu perjanjian yang berisiko tinggi bukan hanya kepada negara tetapi Sabah.

Saya berpendapat bahawa paip gas dari Kimanis hingga ke Lahad Datu sepanjang 600km ini sudah pasti akan melalui kawasan selatan negeri kita yang terkenal dengan hutan tropika tertua di dunia yang menjadi tumpuan para saintis maka saya ingin bertanyakan kepada Rahman Dahlan samada ‘feasibility study’ ataupun ‘laporan EIA’ untuk projek ini telah dilakukan sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

Soalan ini saya tujukan kepadanya kerana beliau pada ketika itu ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan beliau sendiri telah mengatakan bahawa projek tersebut akan dibiayai melalui hutang yang dibuat oleh SSER dengan Exim Bank of China yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan maka tidak salah jika saya katakan bahawa dia mempunyai maklumat mengenai projek tersebut.

Saya juga mengajak rakyat Sabah untuk beramai-ramai membuat penyelidikan terhadap TSGP secara online kerana maklumat tentang projek ini telah disiarkan oleh surat khabar utama dan oleh portal-portal berita yang sahih di Malaysia dan seterusnya bertanyakan kepada Rahman Dahlan soalan ini :

“Sekiranya BN telah menang di Sabah dan Persekutuan pada PRU14 yang lalu, adakah rakyat Sabah akan mengetahui bahawa 80% daripada dana untuk projek tersebut telah pun diberi kepada CPPB walhal kerja yang siap hanyalah 13%?

Isu TSGP ini juga jelas menunjukkan keperibadian mulia dan sifat ‘stewardship’ tinggi yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berbanding dengan bekas-bekas Ketua Menteri Sabah yang lain dalam isu penjagaan aset dan hasil bumi negeri ini seperti kayu balak, mineral berharga dan hidupan marin dilaut.

Shafie mempunyai pilihan untuk meminta agar Tun Mahathir membiarkan projek ini disambung dengan menggunakan isu bekalan elektrik di Pantai Timur sebagai alasan agar dia boleh mendapat kayu balak yang bernilai jutaan ringgit yang sudah pastinya akan tumbang kerana projek ini.

Tetapi dia tidak mahu dan projek tersebut dibatalkan.

*Christopher Masudal ialah bekas Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Malaysia Investment Development Authority (MIDA) Kuala Lumpur