Radin Mahu Peruntukan Pembangunan Disalurkan Kepada Kerajaan Negeri

Radin bersama isterinya Angeline, dan Madiyem serta rombongan menaiki keretapi ke Kg. Pangi.

Oleh BORNEOTODAY
TENOM-PANGI: Sabah mahu semua peruntukan untuk pembangunan di negeri ini seperti pembaikan-pembaikan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik di kawasan-kawasan luar bandar sewajarnya disalurkan kepada Kerajaan Negeri dan diagihkan kepada pejabat-pejabat daerah berkenaan.

Ini kerana pejabat-pejabat daerah di Sabah juga lebih arif mengenai keperluan-keperluan dan perancangan pembangunan di kampung-kampung di daerah-daerah berkenaan, tegasnya Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Radin Malleh.

“Saya fikir sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) menyalurkan peruntukan-peruntukan projek-projek luar bandar kepada kerajaan negeri atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dan ia akan diagih-agihkan kepada pejabat-pejabat daerah berkenaan yang arif dengan kawasan-kawasan berkenaan,” kata Radin.

“Di samping kita lebih mengetahui perancangan-perancangan dan keperluan-keperluan di kawasan itu, kita juga ada pejabat-pejabat Daerah yang lebih tahu situasi tempat-tempat yang memerlukan dan mendesak yang dipohon oleh para penduduk kawasan berkenaan.

“Sepertimana yang kita ketahui, amalan KKLW ketika ini ialah mereka sendiri melaksanakannya dan disebabkan mereka mungkin kurang tahu tentang apa yang berlaku di kampung-kampung dan daerah-daerah itu maka kita khususnya pejabat-pejabat daerah berkenaan bersedia membantu mereka untuk melaksanakannya.

Radin bersalaman dengan penduduk di Kg. Pangi.

“Penyaluran terus peruntukan berkenaan kepada kerajaan negeri Sabah bukan sahaja akan memudahkan pemantauan dan meningkatkan kecekapan, malah ia akan mengoptimakan sumber dan mengelakkan ketirisan dalam pelaksanaan program-program pembangunan berkenaan,” tegasnya.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Pangi, Tenom pada Sabtu lepas.

Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap berkata kerjasama jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan menganjurkan program itu amat baik kerana ia menjadi saluran menjalinkan dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara para penduduk kampung itu dan pemimpin.

Program selama dua hari itu anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Melalap dan Jabatan Penerangan Tenom.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa itu ialah ceramah kesihatan, perlawanan bola sepak, fesyen kanak-kanak dan acara hiburan pentas.

Radin melawat warga tua yang uzur.

Sebelum itu, Radin berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada jumaat lalu adalah satu belanjawan menyeluruh yang holistik untuk semua golongan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Bajet itu juga membuktikan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) merapatkan jurang pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan-kawasan luar bandar di Sabah, kata.

Peningkatan peruntukan dalam Bajet juga membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pelbagai inisiatif baharu yang bakal dilaksanakan bagi memenuhi keperluan-keperluan segenap lapisan rakyat yang berbilang kaum di negara ini mencapai sasarannya, tambahnya.

Najib Razak telah membentangkan Bajet meliputi peruntukan pembangunan Negeri Sabah seperti RM1 bilion untuk pembaikan jalan raya, RM500 juta untuk bekalan elektrik dan RM300 juta untuk bekalan air.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan, Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara, Teo Guan Leck; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.35 Melalap, Simon Mamat, Pegawai Penerangan Tenom Kenny Thomas, Datin Angeline Tom serta para pemimpin masyarakat Tenom.