Qari Kelantan, Qariah Perak Johan Tilawah Al-Quran

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan qariah dari Perak,  Puteri Kalimatul Azzua Hamid masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M yang diumumkan di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini.

Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil penyertaan.

Bagi tilawah lelaki, naib johan disandang qari dari Pahang, Mohamad Syaheed Sabri

yang menerima RM10,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji manakala tempat ketiga dimenangi qari dari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur  yang memperoleh RM7,500 dan juga tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji.

Dalam tilawah wanita, qariah dari Johor, Nurul Nadiah Hashim meraih tempat kedua dan tempat ketiga disandang Nor Jannah Abd. Rahman dari Terengganu yang turut menerima hadiah sama manakala setiap peserta lain, mereka menerima saguhati RM3,000, cenderahati dan sijil.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ditemani isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof serta Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar.

Puteri Kalimatul Azzua Hamid.

Sementara itu, bagi kategori hafazan dari juzuk 1 hingga 10, qari dari Kedah, Muhammad Al-Jazari Muhammad Helmi dinobatkan sebagai johan diikuti Abdul Mun’im Ihyauddeen (Wilayah Persekutuan) di tempat kedua dan Muhammad Imran Hussin (Selangor) di tempat ketiga.

Untuk peserta wanita pula, qariah dari Sarawak, Nurul Izzah Mukhali diumumkan pemenang diikuti Nurul Husna Abdul Aziz (Kedah) di tempat kedua dan Masyithah Mohd. Farid (Negeri Sembilan) di tempat ketiga.

Johan menerima RM5,000 dan piala, RM4,000 untuk naib johan, RM2,000 tempat ketiga dan RM1,000 untuk penerima saguhati.

Majlis hafazan bagi kategori juzuk 1 hingga 20 menyaksikan Sheikh Muhammad Aiman Hafiy Hishamuddin dari Terengganu dan qariah Putri Auni Khadijah Mohd. Hanif dari Kelantan dinobatkan johan yang menerima RM7,000 dan tambahan RM7,000 untuk menunaikan umrah.

Bagi kategori terakhir iaitu hafazan juzuk 1 hingga 30, johan masing-masing menjadi milik qari Mohamad Hakim Mohd. Hisam dari Kedah dan qariah Putri Aminah Mohd. Hanif dari Kelantan yang menerima RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji dan akaun Al-Awfar berjumlah RM20,000 sumbangan Bank Islam.

Habuan berganda diraih pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi keempat-empat kategori apabila kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan simpanan emas bernilai RM1,400.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Februari lalu dan berlangsung enam hari dengan penyertaan 108 peserta tilawah dan hafazan yang mewakili 14 negeri.

Semua mereka diadili 12 hakim tilawah dan 14 hakim hafazan dengan johan setiap kategori akan mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tarikh dan masa yang akan ditentukan kelak.