Pusat Pembangunan Usahawan Diwujudkan Di Pulau Bum Bum

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU:  Pusat Pembangunan Usahawan Pulau Bum Bum yang dilancarkan Isnin lalu akan memperkasakan lagi pertumbuhan ekonomi di daerah Semporna dalam sektor akuakultur.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, pusat yang ditubuhkan atas inisiatif Bank Rakyat itu akan membantu meningkatkan pendapatan keluarga kumpulan 40 peratus terendah (B40).

Beliau berkata, penubuhan pusat itu meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dan merupakan kesinambungan kepada inisiatif CSR yang diadakan di Pulau Mabul April lalu.

Dalam majlis pelancaran itu, Bank Rakyat turut menyumbangkan peralatan bagi memproses ikan kepada 80 suri rumah yang terpilih.

Beliau berkata, peralatan itu akan digunakan bagi memproses hasil tangkapan laut seperti ikan untuk diproses menjadi keropok lekor.

Nizam berkata, kebanyakan penduduk di Pulau Bum Bum bekerja sebagai nelayan dan memperoleh pendapatan di bawah RM1,000, manakala isteri mereka pula hanya suri rumah sepenuh masa.

“Dengan wujudnya pusat ini, kami  berharap dapat meningkatkan hasil pendapatan serta meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan di pulau berkenaan.

“Kursus seperti pemasaran produk, pemasaran digitalisasi dan penjenamaan juga akan diberikan kepada 80 keluarga tersebut pada 10 Disember ini,” katanya.

Menurut beliau, penubuhan pusat itu juga selaras dengan komitmen Bank Rakyat untuk meneruskan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) dan mendukung Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) serta  Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2030).

Dalam pelancaran itu, Bank Rakyat turut menyampaikan kad Nutri Nutrisi kepada 60 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Balimbang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bum Bum yang layak menerima bantuan makanan berkhasiat selama dua bulan.

Selain itu, Bank Rakyat juga menyumbangkan RM10,000 kepada SMK Bum Bum untuk membaiki surau sekolah tersebut.

Di samping itu, 10 keluarga di Pulau Sibuan yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Semporna turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan harian berjumlah RM500 bagi setiap keluarga.

Inisiatif Nutri Nutrisi yang dilancarkan sejak 9 Januari adalah teras CSR Bank Rakyat untuk tahun 2019 dan 2020.

Sehingga kini, 2,000 pelajar kurang bernasib baik mendapat manfaat daripada Kad Nuri Nutrisi.