Pusat Latihan Aeroangkasa Medium Lahirkan Tenaga Kerja Berkemahiran Di Sabah

Mohd Shafie menaiki Gyrocopter yang pertama di Sabah dan juga model pertama di Malaysia, iaitu AutoGyro Cavalon 915is ketika lawatan rasmi ke Pusat Latihan Aerospace KKIP, pagi tadi.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penubuhan Pusat Latihan Aeroangkasa di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) akan menjadi medium untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, pusat latihan yang bakal melatih pekerja berkemahiran tinggi itu akan membuka ruang kepada anak-anak muda tempatan menimba pengetahuan untuk menceburi bidang aeroangkasa.

Katanya, langkah itu signifikan dalam membuka ruang dan peluang kepada belia tempatan untuk menyumbang kepada pembangunan industri aeroangkasa di negeri ini.

Menurutnya, dengan adanya tenaga kerja mahir dalam bidang penyelenggaraan pesawat ini, mana-mana pesawat yang rosak kini boleh diselenggara di Sabah.

“Jika dilihat sebelum ini, apabila ada pesawat yang rosak, kita terpaksa menunggu pesawat lain datang dari Kuala Lumpur.

“Tapi, dengan adanya penyelenggaraan pesawat di sini, kita tidak perlu lagi menunggu, kita boleh memperbaiki pesawat berkenaan di sini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Aeroangkasa, KKIP, di sini hari ini.

Beliau percaya dalam tempoh setahun atau dua tahun ini apabila Covid-19 berakhir, syarikat penerbangan akan kembali beroperasi seperti biasa dan apabila keadaan itu berlaku, kepakaran dalam bidang penyelenggaraan pesawat akan diperlukan.

Dalam majlis itu, Mohd Shafie turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara MASWings-Mega Aerospace Centre Sdn Bhd; Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd-KKIP Aerospace Sdn Bhd; CAAC Malaysia Sdn Bhd & Mega Aerospace Centre Sdn Bhd; Bataras dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Mengenai industri kreatif di Sabah, Mohd Shafie yang turut melawat Pusat Kreatif Ekonomi & Inovasi Sabah berkata, terdapat keperluan untuk melihat struktur sedia ada bagi mempermudahkan kelulusan untuk penggiat industri kreatif mengadakan program dan aktiviti di negeri ini.

Katanya, penyelarasan di setiap agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia perlu dilakukan agar mudah untuk penggiat industri kreatif melakukan penggambaran di Sabah.