Pusat Kuarantin Ditinggalkan Dalam Keadaan Kotor

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyeru semua penghuni yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin agar menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Saranan demikian diberikan susulan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang meninggalkan pusat kuarantin dalam keadaan persekitaran yang kotor.

CHRISTINA RUNDI

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, pihaknya menerima aduan daripada jabatan-jabatan yang terlibat dalam pengurusan Pusat Kuarantin bahawa terdapat segelintir individu yang dikuarantin di Pusat Kuarantin menunjukkan sikap yang tidak menyenangkan.

Beliau berkata, pihaknya faham ada individ yang rasa tidak selesa dan tidak puas hati kerana terpaksa menjalani perintah kuarantin di Pusat Kuarantin yang disediakan.

Namun, setiap individu perlu memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran yang merupakan asas kepada kesihatan.

Katanya, sehingga 26 Mei, seramai 9,192 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 2,223 orang masih berada di 55 buah Pusat Kuarantin di seluruh negeri Sabah.

Mengenai kawalan penularan jangkitan Covid-19, sepanjang tempoh pengawalan, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memeriksa sebanyak 584 premis pada 25 Mei dan tidak ada pelanggaran dilaporkan.

Berkenaan saringan terhadap pelajar madrasah dan sekolah tahfiz, daripada sejumlah 617 pelajar sekolah tahfiz yang disaring sebelum sekolah ditutup, sebanyak enam kes positif telah dikesan.

Bagi Pusat Jagaan Warga Emas pula, 16 pusat telah dilawati dan sejumlah 792 orang yang terdiri daripada 409 penghuni dan 383 kakitangan telah disaring dan tiada kes Covid-19 dikesan.

“Melalui aktiviti saringan di Pusat Jagaan Warga Emas, pihak JKNS turut mengambil peluang untuk menasihatkan pihak pengurusan pusat jagaan mengenai norma-norma baru.

“Aktiviti saringan warga emas akan diteruskan dalam komuniti bagi lokalitilokaliti yang dikenalpasti berisiko seperti lokaliti yang terdapat kes Covid-19, kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) dan pergerakan penduduk yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Christina berkata, JKNS ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan ahli keluarga dilindungi terutama semasa musim perayaan ini.

(Visited 1 times, 1 visits today)