Pusat Konvensyen SICC Tidak Akan Jadi ‘Gajah Putih’ – Shafie Apdal

Shafie Apdal membuat lawatan ke tapak Projek SICC pada Khamis.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal memberi jaminan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) tidak akan menjadi seperti ‘gajah putih’ sekiranya langkah promosi pusat itu dijalankan dengan baik.

Beliau berkata, kerajaan melalui Yayasan Sabah serta beberapa orang yang akan dilantik akan mempromosikan pusat konvensyen itu kepada masyarakat antarabangsa.

“Yayasan Sabah perlu menjalankan usaha promosi di luar negara bagi memberitahu masyarakat antarabangsa tentang kemudahan pusat konvensyen berkenaan.

“Dengan adanya jelajah promosi sebegitu, saya percaya pusat ini akan dimanfaatkan bukan hanya untuk orang mengadakan majlis perkahwinan tetapi juga untuk persidangan serta mesyuarat antarabangsa.

“Selain menghadiri urusan perniagaan, pengunjung juga boleh meluangkan masa untuk berkunjung ke pulau-pulau serta gunung yang berada tidak jauh dari SICC ini,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan ke Tapak Projek SICC, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa ditanya tentang kebimbangan orang ramai bahawa SICC akan seperti ‘gajah putih’ yang tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Pusat konvensyen yang dibina dikawasan seluas 15 ekar itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

Kemudian ditanya tentang hasil pulangan yang akan diperolehi melalui pembinaan SICC itu, Shafie berkata pulangan akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang.

“Saya yakin kita akan dapat semula wang ini dalam jangka panjang, bukan dalam masa yang singkat,” jelasnya.

Mengikt Ketua Menteri pada lawatan itu ialah Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Menurutnya, kos pembinaan SICC itu mengalami pertambahan berbanding kos diperingkat awal disebabkan pelbagai arahan dan penyelarasan yang dilakukan dari masa ke semasa.

“Memandangkan bangunan ini ditebing laut maka, ia memerlukan asas yang kukuh dan kuat. Penting bagi kita mempunyai bangunan bukan sahaja cantik tetapi juga selamat dan mesra pengguna.

“Peningkatan kos berlaku dari RM400-RM 500 juta kepada hampir RM850 juta. Peningkatan berlaku berikutan pelbagai arahan bagi memenuhi keperluan antarabangsa.

“Kita perlu memenuhi keperluan ditetapkan diperingkat antarabangsa yang mana, bukan hanya dari sudut kemudahan infrastruktur tetapi juga dalam aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, bahan-bahan yang digunakan juga adalah bahan tempatan dalam memastikan kos dapat dikurangkan sebanyak mungkin.

Mengenai perkembangan projek itu Shafie berkata, projek itu sudah mencapai 62 peratus. Walau berlaku sedikit kelewatan namun, diharap prestasi projek itu dapat dipertingkatkan.

Oleh itu, mereka akan meminta orang yang berpengalaman memantau projek itu dengan lebih dekat agar ia dapat disiapkan pada tahun hadapan.