Pusat Kesihatan Swasta Bantu Ringankan Bebanan Di Hospital Kerajaan

630
Stephen melihat proses fisioterapi yang menggunakan teknologi TECAR.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Usaha mewujudkan pusat penjagaan kesihatan swasta dilihat akan membantu meringankan bebanan hospital kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat secara keseluruhan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan sektor swasta seperti dilakukan KPJ Healthcare Berhad ini akan membantu melengkapi perkhidmatan yang disediakan di hospital-hospital kerajaan.

”Kita tidak boleh menyatakan perkhidmatan sektor mana yang lebih baik kerana kedua-dua sektor awam dan swasta mempunyai program dan pelanggan tersendiri.

”Sektor awam dan swasta sama-sama cuba memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik kepada pelanggan mereka.

”Namun, dengan kewujudan pusat penjagaan kesihatan swasta ini, ia memberi pilihan kepada rakyat yang sanggup membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan sektor swasta,” katanya ketika ditanya adakah perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan berada pada tahap yang sama dengan sektor swasta.

Stephen (dua kanan) bersama Amiruddin (dua kiri) dan Pengerusi Damai Wellness Centre Ahmad Nasiruddin Harun (kanan) memotong riben sebagai simbolik pelancaran Damai Wellness Centre.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pusat Kesihatan Damai (Damai Wellness Centre), di sini pada Khamis.

Stephen berkata, langkah yang diambil KPJ dalam menyediakan pusat penjagaan kesihatan ini harus dicontohi oleh sektor swasta yang lain.

Katanya, dalam menyediakan pusat sebegini apa yang penting bukan keselesaan biliknya tetapi, ia lebih kepada tahap perkhidmatan dan penjagaan yang diberikan oleh kakitangan yang terlatih.

Menurutnya, kerajaan amat mengambil berat tentang penjagaan kesihatan. Atas sebab itulah, geran perutukan bagi membantu memperbaiki tahap kesihatan rakyat termasuk golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) akan dipertingkatkan. Malah, pembinaan pusat untuk warga emas juga akan ditambah.

”Bagaimanpun, kerajaan tidak mampu menyediakan semuanya. Penglibatan sektor swasta juga diperlukan bagi membantu menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk mereka yang berkemampuan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, sektor swasta lebih memfokuskan kepada orang awam yang sanggup membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Manakala, hospital kerajaan pula memberikan khidmat kesihatan kepada rakyat secara keseluruhan. Kedua-dua sektor ini saling melengkapi antara satu sama lain bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Pusat Kesihatan Damai menyediakan perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan yang unik.

Pusat ini turut dilengkapi dengan teknologi baru yang pertama seumpamanya di Borneo, iaitu Radioterapi Long Tailed Tissue (TECAR) yang akan mempercepatkan proses pemulihan.